PETALING JAYA – Selepas kejayaan Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza dengan konsert Beraya Dengan Saya di Zepp KL, penyanyi Ushera juga mahu mengikut jejak sama mahu menyuntik kelainan terhadap perjalanan seninya dengan sebuah showcase bertajuk Warna Warni Hari Raya Latin Jazz Style.
Memilih BOBO KL sebagai lokasi persembahan, Ushera menyeru para peminat serta sahabat handai untuk bersama-sama merayakan suasana malam penuh warna tersebut bersama-sama dengannya.
Malam penuh keriangan dengan genre latin jazz tersebut akan menampilkan Ushera sebagai penyanyi, dengan diiringi pemuzik seperti Ganesh Bala (piano), Omar Ibrahim Azmi (dram) dan Norman Rahman (bass).
“Penonton akan dijamu dengan irama yang kaya, semangat perayaan, sedikit groove, sedikit swing… dan semestinya kegembiraan Hari Raya pada 18 April ini. Dan ini merupakan persembahan satu malam sahaja, jadi cepat-cepat dapatkan tiket yang terhad!”ujar Ushera.
“Peminat boleh mendapatkan tiket berharga cuma RM100 di https://bobokl.com/ushera-hari-raya-apr26/ ,”tambahnya sambil mengingatkan bahawa tempat adalah terhad dan cepat-cepat dapatkan tiket yang sudah dijual mulai 18 Mac lalu.
Sebagai informasi, dengan semangat mengekalkan tradisi dan meneruskan suasana meriah di Aidilfitri, penyanyi Nona Ushera atau Ushera siap memasarkan lagu raya buat kali ketiga.
Setelah muncul dengan lagu raya perdana bertajuk Suka Ria Raya pada 2017 yang menarik perhatian ramai, Ushera kemudian tampil dengan lagu raya berjudul Kembali pada tahun 2021 yang terarah kepada muzik Ghazal Melayu tradisional.
Tidak muncul dengan produksi lagu raya selepas tahun 2021, untuk tahun ini, Ushera kembali lewat karya baharu sempena menyambut temasya Aidilfitri menerusi Warna Warni Hari Raya.
Warna Warni Hari Raya malah menerima sentuhan emas Ushera sebagai penulis lirik yang memilih Ganesh Bala sebagai penerbit serta komposer dalam menterjemahkan lagu tersebut menepati piawaian suasana di bulan mulia.
Manifesto Warna Warni Hari Raya yang mengangkat tema keberagaman juga diterjemah lewat pembabitan karyawan seni yang terdiri daripada pelbagai bangsa.
Jika Ushera menghasilkan lirik dan Ganesh Bala menerbitkannya,video klip Warna Warni Hari Raya yang menjalani penggambaran pada 2 Januari lalu disempurnakan Arnaud Blondel selaku Pengarah Video dan Fotografi.
Tidak hanya melahirkan lagu, Ushera melengkapkan Warna Warni Hari Raya menerusi kolaborasi bersama pereka busana terkenal, Syomir Izwa Gupta (@bysyomsz) bagi melengkapkan efek penampilan yang menjadi pakejnya selama ini. Kolaborasi ini menjadikan vibe dan suasana warna-warni yang dialunkan dan divisualkan terasa sangat dekat dan tepat.
“Liriknya berkisar tentang kemeriahan raya, tentang suasana, tentang kemeriahan menyambut raya di kampung, berbusana raya baharu dan semua tentang Aidilfitri yang berwarna warni.
“Warna Warni Hari Raya juga sangat bermakna kerana mengangkat tema persahabatan, majmuk masyarakat Malaysia yang sentiasa terbuka dan merayakan semua jenis perayaan bersama-sama. Hari raya adalah hari untuk mengenepikan sentimen lalu berkumpul bersama dan bergembira.
“Tentang liriknya yang bersahaja, saya hasilkan lirik Warna Warni Hari Raya sebegitu supaya ia mudah diingat dan melekat di hati pendengar. Namun dalam masa yang sama, melodinya tetap menerima sentuhan malar segar dan boleh menyentuh hati seluruh generasi,” ujar Ushera.
Menurut penyanyi yang cukup terkenal dengan ciri khas moden dibalut retro bukan hanya dari penampilan tetapi karya-karyanya, Warna Warni Hari Raya dihasilkan bukan bertujuan persaingan tetapi mahu menyemarakkan kemeriahan lagu raya yang kembali hangat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Muzik video meriahnya Warna Warni Hari Raya sudah boleh ditonton di laman YouTube mulai 16 Februari jam 8.30 malam manakala lagu Warna Warni Hari Raya boleh juga didengarkan di laman spotify dan Apple Music pada tarikh 16 Februari 2026.
Sebagai informasi, Ushera juga pernah melahirkan album bertajuk Semalam Di Malaya pada tahun 2016 yang memuatkan lagu antaranya Bunga Raya, Dunia Asmara, Jikalau Abang Merindu, lagu rancak Polynesia Mambo dan lagu Chuchi Kain Chuchi Mata yang kesemuanya dinyanyikan di dalam gaya asli.
Tiket-tiket berharga RM100 untuk malam persembahan pada 18 April (Sabtu) nanti, boleh didapati menerusi ttps://bobokl.com/ushera-hari-raya-apr26/. – KOSMO! ONLINE














