MELAKA – Seorang lelaki berstatus suami orang sanggup menggadai nyawa dengan bersembunyi di bawah kompresor pendingin hawa di luar tingkap tingkat 13 sebuah kondominium di Kota Laksamana di sini bagi mengelak dicekup khalwat, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.40 pagi itu, helah lelaki berusia 26 tahun tersebut terbongkar selepas dikesan Pegawai Penguat Kuasa Agama (PPA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) susulan aduan awam.
Menurut sumber, ketika serbuan dilakukan, pasangan terbabit pada awalnya enggan membuka pintu, namun akhirnya wanita berusia 25 tahun yang bekerja di sebuah syarikat swasta itu, akhirnya akur dengan membenarkan pemeriksaan dijalankan.
“Wanita itu yang masih bujang mendakwa dia duduk bersendirian dan pemeriksaan awal di dalam rumah serta di koridor tingkat 13 tidak menemui individu lain.
“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut menggunakan lampu suluh di bahagian luar tingkap membawa kepada penemuan lelaki berkenaan yang bersembunyi di bawah kompresor pendingin hawa dalam keadaan tidak berbaju,” katanya.
Tambahnya, hasil siasatan mendapati lelaki itu bekerja sebagai eksekutif pemasaran dan mengaku sudah berkahwin, namun dalam proses perceraian, manakala wanita itu masih bujang.
“Kedua-duanya turut mengaku tidak mempunyai hubungan sebagai suami isteri sebelum ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana disyaki berkhalwat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














