JAKARTA – Seorang pemilik kedai dobi layan diri di Indonesia mengundang perhatian orang ramai apabila merakam dirinya menemui sejumlah wang kertas di dalam mesin pengering pakaian, lapor portal berita Lambe Turah.
Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @officiallambeturah menunjukkan lelaki itu sedang membersihkan penapis mesin pengering yang dipenuhi debu.
Selain habuk, dia menemukan beberapa keping wang kertas dan syiling yang terselit di dalam komponen mesin tersebut.
Wang tersebut bernominasi 100,000 rupiah (RM23), 50,000 rupiah (RM12), 2,000 rupiah (RM0.46) dan lain-lain.
Rakaman itu mencatatkan lebih 642,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Seronoknya kalau mesin basuh saya seperti ini setiap hari,” kata seorang netizen.
“Esok nak tukar kerja, saya nak jadi tukang bersihkan mesin,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI














