PETALING JAYA – Sebanyak 23 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Pahang yang menyertai program Agrobank Upward Migration (AUM) telah berjaya merekodkan pencapaian memberangsangkan termasuk peningkatan jualan, pengembangan perniagaan, penciptaan pekerjaan, serta penambahan kapasiti dari segi teknologi serta pembiayaan.
Inisiatif AUM yang diterajui oleh Agrobank Centre of Excellence (ACE) bertujuan memperkasa usahawan PKS dalam sektor keterjaminan makanan agar terus berkembang secara mampan, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, keberkesanan bimbingan serta strategi yang diterapkan jurulatih Agrobank terbukti apabila 19 syarikat peserta berjaya mencatatkan peningkatan jualan.
Jelasnya, secara keseluruhan, jumlah jualan terkumpul peserta bagi tahun 2025 naik 55 peratus berbanding tahun sebelumnya untuk mencecah RM10.4 juta.
“Selain itu, tujuh syarikat berjaya memperoleh pembiayaan tambahan berjumlah keseluruhan RM434,000, sekali gus memperkukuh kedudukan kewangan serta meningkatkan kapasiti pertumbuhan perniagaan mereka.
“Dari segi pembangunan kapasiti, enam syarikat telah berjaya mengembangkan operasi perniagaan melalui penambahan aset baharu.
“Sebanyak empat syarikat turut berjaya menjana peluang pekerjaan kepada seramai 18 individu dalam komuniti setempat, sejajar dengan usaha memperkasa ekonomi inklusif,” katanya dalam satu kenyataan semalam sempena Majlis Aspirasi Kecemerlangan Program AUM Usahawan Pahang yang diadakan di Kuantan.
Program AUM merupakan inisiatif pembangunan usahawan selama 12 bulan yang menggabungkan pembelajaran teori dan aplikasi praktikal melalui latihan bersemuka, dalam talian serta bimbingan secara terus di premis perniagaan.
Ia disokong oleh modul komprehensif yang merangkumi pengurusan kewangan, strategi pemasaran digital, perancangan hala tuju syarikat serta amalan pengurusan perniagaan berstandard korporat. – KOSMO! ONLINE














