PETALING JAYA – Rakyat digalakkan beralih kepada skim Time of Use (ToU) sebagai langkah praktikal untuk menjimatkan bil elektrik dan memperkukuhkan kecekapan penggunaan tenaga negara dalam menghadapi ketidaktentuan harga tenaga global ketika ini.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam satu kenyataan berkata, seramai 128,868 pengguna telah beralih kepada skim ToU, setakat Februari tahun ini.
Katanya, ia sekali gus mencerminkan peningkatan kesedaran rakyat terhadap kepentingan pengurusan tenaga yang lebih efisien.
Menurut PETRA, pendekatan penggunaan tenaga secara lebih bijak melalui skim ToU memberi peluang untuk pengguna menikmati kadar tarif elektrik lebih rendah pada waktu luar puncak berbanding waktu puncak, secara langsung membantu penjimatan melalui perubahan corak penggunaan harian.
“Waktu puncak lazimnya membabitkan tempoh permintaan elektrik yang tinggi pada hari bekerja, iaitu antara jam 2 petang hingga 10 malam dengan kadar tarif lebih tinggi.
“Waktu luar puncak pula merangkumi tempoh permintaan elektrik lebih rendah seperti waktu malam hingga pagi, hujung minggu dan cuti umum, yang menawarkan kadar tarif lebih rendah kepada pengguna.
“Perbezaan kadar ini memberi insentif kepada pengguna untuk merancang penggunaan elektrik secara lebih efisien,” jelas kenyataan itu.
PETRA menambah, melalui skim ToU, pengguna boleh mengalihkan aktiviti berintensiti tenaga seperti penggunaan penyaman udara, mesin basuh, pemanas air serta pengecasan kenderaan elektrik ke waktu luar puncak bagi memaksimumkan penjimatan.
“Pendekatan ini bukan saja membantu mengurangkan bil elektrik, malah menyumbang kepada penggunaan tenaga lebih cekap dan mampan,” katanya.
PETRA berkata, kerajaan melihat skim ToU sebagai antara inisiatif penting dalam membantu rakyat mengawal dan mengurangkan perbelanjaan bil elektrik, menggalakkan penggunaan tenaga secara lebih cekap serta mengurangkan beban permintaan elektrik ketika waktu puncak.
“Penggunaan tenaga secara berhemah bukan saja membantu mengurangkan kos sara hidup, malah menyumbang kepada kemampanan alam sekitar dan pembangunan negara yang lebih seimbang untuk generasi masa hadapan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














