SELAYANG – Suasana di kompleks mahkamah di sini, kecoh seketika apabila suspek ketiga bagi kes dakwaan penderaan seksual di sebuah rumah kebajikan, tiba untuk berdepan pelbagai pertuduhan.
Suspek yang juga seorang remaja dan tidak boleh dinamakan mengikut undang-undang, dilihat menutup kepalanya dengan tuala ketika diiring masuk ke kawasan lokap.
Semasa dibawa ke lokap salah seorang lelaki warga emas dilihat mengeluarkan kata-kata ‘harapkan pegar, pegar makan padi.’
Difahamkan suspek ketiga merupakan pesalah juvana yang berusia 17 tahun yang juga penghuni rumah kebajikan itu dan berdepan dengan empat pertuduhan.
Semalam penjaga dan pengasas rumah kebajikan tersebut telah didakwa atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal termasuk persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap beberapa kanak-kanak lelaki. – KOSMO! ONLINE














