KUALA LUMPUR – Hasrat beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei untuk merangkul gelaran Asia berkubur apabila gagal meneruskan kemaraan ke separuh akhir pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2026 di Ningbo, China.
Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Pusat Sukan Olimpik Ningbo sebentar tadi, gandingan juara dunia itu terpaksa akur dengan kekalahan straight-set 19-21, 17-21 kepada beregu ranking ke-147 dari Korea Selatan, Kim Jae Hyeon-Jang Ha Jeong.
Turun sebagai pilihan keempat kejohanan, Tang Jie-Ee Wei pada awalnya diramalkan tidak berdepan masalah untuk membenam cabaran pasangan lawan, namun sebaliknya yang berlaku apabila mereka diberikan kejutan.
Walaupun bermula baik dengan mendahului 8-4 di set pertama, namun pasangan No.4 dunia itu tersentak seketika apabila Jae Hyeon-Ha Jeong mengejar sebelum memintas kedudukan untuk memimpin permainan 14-10.
Tang Jie-Ee Wei kemudiannya kembali memperkemaskan permainan dan berjaya menyamakan kedudukan 14-14, namun pasangan Korea itu tetap fokus sebelum menamatkan aksi set pertama dengan kemenangan 21-19.
Memasuki set kedua, pemain lawan menampilkan aksi lebih meyakinkan apabila langsung tidak memberikan peluang kepada Tang Jie-Ee Wei untuk memimpin perlawanan walaupun sudah mengeluarkan permainan sebenar.
Pasangan negara cuba melakukan yang terbaik untuk memintas pemain lawan bagi mengembalikan keyakinan, namun usaha mereka itu tidak membuahkan hasil sebelum tewas 17-21, sekali gus tersingkir daripada saingan.
Pada saingan musim lalu, Tang Jie-Ee Wei tidak menyertai kejohanan tersebut selepas dipisahkan buat seketika Mac tahun lalu ekoran sudah tidak ‘sebulu’ sebelum kembali digandingkan semula sebulan kemudian.
Menerusi kekalahan itu, harapan Malaysia pada kejohanan tersebut digalas beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah yang akan turun beraksi petang ini. – KOSMO! ONLINE














