JASIN – Kejadian sebuah tokong yang dikesan tertera tulisan kalimah Allah di Jalan Jeti Anjung Batu – Pantai Siring, Serkam di sini disahkan tidak mempunyai kaitan dengan ajaran sesat.
Pengerusi Kanan Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, setakat ini tiada sebarang petunjuk yang mengaitkan penemuan itu dengan sebarang aktiviti ajaran sesat seperti yang tular di media sosial.
“Tiada kaitan dengan ajaran sesat, namun saya telah meminta Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan pihak polis menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian ini.
“Insya-Allah binaan tersebut akan dirobohkan segera oleh pemilik tanah petang ini dan operasi berkenaan akan diketuai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Zaidi Attan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Penduduk di sekitar Pantai Siring dekat sini gempar apabila menemui kalimah Allah ditulis di dalam sebuah tokong di Jalan Jeti Anjung Batu – Pantai Siring, di sini, malam tadi.
Kejadian itu disedari sekumpulan pemancing yang kemudian memaklumkan perkara tersebut kepada Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman.
Susulan itu, Rahmad dilaporkan bergegas ke lokasi sekitar pukul 11.30 malam bagi melakukan pemeriksaan. Hasil tinjauan mendapati binaan berkenaan terletak di kawasan paya bakau berhampiran pantai serta berdekatan tanah berpagar milik individu. – KOSMO! ONLINE














