fbpx
Mohammad Yusof ketika melancarkan pusat inovasi Mylky Way di Klang.

Tenaga nuklear alternatif kurangkan kebergantungan tenaga global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Peralihan kepada tenaga nuklear dilihat sebagai langkah mampan untuk mengurangkan kebergantungan negara terhadap bekalan tenaga global.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohammad Yusof Apdal berkata, tenaga nuklear berpotensi menjadi alternatif selamat dan kos efektif untuk negara yang boleh menjamin bekalan tenaga masa depan.

“Sebagai negara sedang menuju status maju, kita perlu menilai kebergantungan terhadap kaedah pengeluaran tenaga sedia ada. Tentu, ada keperluan untuk mengkaji kaedah lain seperti tenaga nuklear atau apa sahaja yang lain.

“Contohnya, di Sabah, penggunaan gas terbukti lebih murah dan mampan berbanding diesel,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan pusat inovasi Mylky Way di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipetik berkata, Malaysia perlu mempercepat peralihannya ke arah strategi tenaga jangka panjang yang lebih mampan, pelbagai dan cekap dari segi kos.

Menurut Mohammad Yusof, kajian sedang dilaksanakan di peringkat kementerian bagi mempercepatkan peralihan kepada tenaga baharu.

“Kita sedang membuat kajian termasuk dari segi tenaga nuklear. Kajian ini ada peringkatnya kerana kita perlu pastikan ia selaras dengan pemahaman komuniti.

“Situasi kita berbeza berbanding negara maju, di mana penggunaan nuklear diterima dan difahami bukan sebagai sesuatu yang negatif.

“Di sini, persepsi tentang nuklear berbeza-beza. Ramai melihatnya berbahaya walaupun impak sebenar tenaga nuklear adalah lebih bersih dan terkawal,” jelasnya.

Ketika ditanya mengenai usaha Kerajaan Selangor yang dalam fasa memulakan
pelaksanaan tenaga nuklear sebagai sumber tenaga bersih dalam tempoh lima tahun, Mohamad Yusof menjelaskan ia adalah bergantung kepada kemampuan negeri itu.

“Kalau seperti di Selangor, kita tidak memilih kawasan tertentu. Asalkan ia boleh diguna pakai, mengapa tidak? Apa jua peringkat atau bidang yang diperlukan, kita bersama mereka.

“Tetapi pendekatan perlu dibuat secara berhemah. Tidak boleh terus dilaksanakan segera kerana ia boleh menimbulkan implikasi atau ketidakselesaan dalam kalangan rakyat yang belum memahami sepenuhnya,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN