KUALA LUMPUR – Malaysia dijangka tidak berdepan krisis bekalan minyak dalam tempoh beberapa bulan akan datang meskipun terdapat kemungkinan kenaikan harga bahan api susulan ketidaktentuan global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jaminan bekalan itu antara lain disokong rekod cemerlang petronas sebagai pengimport bersih serta hubungan baik syarikat berkenaan dengan negara pengeluar minyak.
“Kita juga adalah pengimport bersih kerana produk kita merupakan jenama premium yang harganya sedikit lebih tinggi, namun kita masih mengimport.
“Pujian harus diberikan kepada Petronas kerana mereka mempunyai rekod prestasi yang cemerlang serta hubungan baik dengan negara pengeluar minyak,” katanya pada Dialog Kuala Lumpur-Ankara di ibu negara hari ini.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan Malaysia perlu mempercepatkan peralihan ke arah strategi tenaga jangka panjang yang lebih mampan, pelbagai dan kos efektif.
Menurutnya, perubahan ketara dalam strategi tenaga bukan sahaja satu keperluan dari sudut alam sekitar, malah menjadi tuntutan mendesak susulan gangguan bekalan tenaga global ketika ini.
“Kerajaan telah mengambil langkah untuk mengurus pendedahan terhadap ketidaktentuan dengan mengimbangi keperluan memastikan bekalan mencukupi serta mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat,” ujarnya.
Tambah beliau, gangguan tenaga global dijangka memberi kesan kepada harga tenaga, sekali gus memberi impak kepada sistem pengeluaran, rantaian bekalan dan kos sara hidup harian di negara maju serta membangun.
“Gangguan terhadap tenaga dan infrastruktur kini memberi implikasi kemanusiaan serta kesan sosioekonomi yang lebih luas, yang berpotensi menggugat kestabilan sedia ada,” katanya.
Jelasnya lagi, walaupun Malaysia tidak terkecuali daripada kesan gangguan bekalan tenaga global, kerajaan kekal komited untuk melindungi kesejahteraan rakyat. – KOSMO! ONLINE














