MANCHESTER – Pengendali Liverpool, Arne Slot hanya mampu meminta seluruh pasukannya terus kekal bersama-sama menghadapi musim yang penuh kejutan dan kesukaran buat kelab itu kali ini.
Ia rentetan kekalahan 0-4 kepada Manchester City di Etihad kelmarin yang menyaksikan pasukannya tersingkir daripada saingan suku akhir Piala FA sekali gus melepaskan peluang terakhir untuk memburu sekurang-kurangnya satu piala musim ini.
Biarpun masih bersaing di Liga Juara-Juara, Liverpool diramal sukar untuk menjulang gelaran tersebut ketika prestasi mereka dalam keadaan tidak menentu, selain perlu berdepan halangan Paris Saint-Germain minggu ini.
“Ia sangat mengecewakan apabila kami tersingkir, bukan saja soal cara kami kalah, tetapi membabitkan jumlah jaringan yang terhasil.
“Pada 35 minit pertama, kami menyerlahkan apa yang kami mahukan, namun selepas itu kami dipaksa bertahan. Adalah tidak bagus apabila kami ketinggalan 0-2 pada separuh masa pertama.
“Ia tidak membantu pasukan berada pada ‘mood’ terbaik terutamanya selepas apa yang kami lalui musim ini. Jadi, sudah pasti agak sukar untuk kami terima semua ini,” katanya yang hanya mampu meraih dua kemenangan daripada tujuh perlawanan terakhir.
Pada perlawanan kelmarin, Liverpool turut mensia-siakan bvanyak peluang sebaliknya Erling Haaland bijak memanfaatkan kesempatan bagi meledak hatrik buat Manchester City diikuti satu lagi jaringan daripada Antoine Semenyo.
“Kami perlu terus kekal kuat untuk berdepan situasi seperti ini dan inilah yang sedang dilakukan sekarang,” katanya. – AGENSI














