GEORGE TOWN- Perlawanan Akhir Pertama Piala Cabaran menyaksikan pasukan Penang FC dan Sabah FC terikat 1-1 pada aksi yang berlangsung di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, malam tadi.
Pada perlawanan itu, skuad kendalian Wan Rohaimi Wan Ismail dilihat bermula garang seawal babak pertama apabila melakukan beberapa percubaan ke gawang lawan, namun tersasar.
Pasukan Sabah juga dilihat tidak mahu mengalah dan cuba melakukan serangan bertali arus terhadap kubu tuan rumah termasuk cubaan menjaringkan gol pertama mereka, tetapi masih tidak berhasil.
Bagaimanapun, gol pertama tuan rumah hadir pada minit ke-70 yang diledakkan pemain importnya, Wenzel Hall menerusi sepakan deras ke gawang lawan.
Tersentak dengan jaringan tuan rumah, Sabah yang dikemudi Juan Torres Garrido berjaya menyamakan jaringan pada minit 90, hasil sepakan penalti oleh Wotter Peres.
Keputusan 1-1 kekal hingga ke wisel penamat dan aksi penentu juara akan berlangsung pada Perlawanan Akhir Kedua Piala Cabaran pada 19 April ini, di Stadium Likas, Kota Kinabalu di Sabah. -KOSMO! ONLINE














