
LUMUT – Bantuan Kerajaan Negeri Perak membolehkan impian seorang usahawan ikan bilis mata biru di Pulau Pangkor, di sini untuk memodenkan proses pengeringan makanan laut itu menjadi realiti.
Pengarah Beng Guan Marine Products Sdn. Bhd., Tan Wee Hoe berkata, peruntukan lebih RM300,000 yang diterima dimanfaatkan syarikatnya untuk membina sistem pengeringan ikan bilis menggunakan tenaga solar yang pertama di negara ini.
Jelasnya, menerusi kerjasama Jabatan Perikanan Perak yang bertanggungjawab menguruskan peruntukan berkenaan, pengering solar tersebut dengan reka bentuk luaran seakan-akan rumah hijau berjaya disiapkan pada hujung 2024.
“Pada mulanya seorang rakan memberi idea agar pengering solar dibangunkan bagi industri ikan bilis berdasarkan teknologi sedia ada yang digunakan di Afrika. Di sana, mereka mengeringkan buah-buahan.
“Cadangan itu saya kembangkan menjadi satu konsep, sebelum dibincangkan dengan Jabatan Perikanan pada pertengahan 2024 dan seterusnya dibentangkan kepada kerajaan negeri,” katanya kepada Kosmo! di Pulau Pangkor, di sini semalam.
Usahawan myAgropreneur Perikanan (myAP), Jabatan Perikanan Malaysia itu menambah, kerajaan negeri bersetuju membantu membangunkan sistem berkenaan, dengan beberapa penambahbaikan turut dilakukan Jabatan Perikanan agar pengering solar berkeluasan 4×10 meter persegi itu menjadi realiti.
“Pada hujung 2024, pengering ini mula beroperasi dan ia ternyata merupakan satu kaedah pengeringan hasil laut yang mempunyai beberapa kelebihan berbanding teknik tradisional.
“Antaranya ialah lebih bersih, selain menggunakan ruang yang lebih kecil. Selain itu, saya juga tidak lagi perlu menunggu lama di premis kerana ikan bilis diletakkan di dalam dulang khas secara bertingkat-tingkat di bawah bumbung,” katanya yang menjelaskan, kaedah tradisional memerlukan pengusaha menunggu kerana ikan bilis dijemur terus di bawah cahaya matahari.
“Jika hujan, pengusaha tradisional perlu mengalihkan ikan bilis sebelum menjemurnya kembali setelah hujan berhenti,” katanya.
Sementara itu, Ketua Daerah Perikanan Manjung, Mohd. Ridzuan Mohamad Mokhtar berkata, pihaknya terus memberi bimbingan kepada Wee Hoe serta memastikan sistem berkenaan dapat ditambah baik pada masa akan datang.
Katanya, peranan dimainkan Jabatan Perikanan negeri selari dengan flagship Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan) di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
“Bantuan kepada Wee Hoe turut bermatlamat memperkukuh ekonomi biru di Perak, yang mana sektor perikanan merupakan pemacu utama di negeri ini,” katanya.














