PETALING JAYA – Malaysia terus memperkukuh kerjasama dengan Asian Infrastructure Investment Bank (AIIB) dalam usaha merancakkan pelaburan strategik serta mempercepat agenda pembangunan mampan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dibincangkan dalam kunjungan hormat Presiden dan Pengerusi Lembaga Pengarah AIIB, Zou Jiayi bersama delegasinya semalam.
Menurut beliau, pertemuan tersebut memberi fokus kepada agenda pembangunan mampan termasuk peralihan tenaga hijau serta pemerkasaan infrastruktur digital dan teknologi termaju.
“Saya menekankan keutamaan kerajaan sebagaimana digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13).
“Ia merangkumi pemerkasaan tenaga boleh baharu, peningkatan kecekapan tenaga serta pembangunan ekosistem digital yang berdaya saing dan inklusif,” katanya dalam satu kenyataan.
Anwar berkata, dalam aspek pelaburan swasta dan integrasi ekonomi serantau, beliau menyambut baik komitmen AIIB untuk terus memainkan peranan dalam merancakkan pelaburan di Malaysia.
“Kerjasama ini penting khususnya dalam sektor bernilai tinggi dan berimpak besar yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi negara,” ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan komited memastikan ekosistem pelaburan negara kekal kondusif, berdaya saing dan berintegriti bagi menarik lebih banyak pelaburan berkualiti.
“Pada masa sama, kita akan terus memperkukuh asas ekonomi domestik agar Malaysia kekal stabil, kukuh dan berdaya tahan dalam mendepani cabaran serta ketidaktentuan geopolitik semasa,” katanya.- KOSMO! ONLINE.














