KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan dijangka memanggil tujuh saksi dalam kes dua warga China yang didakwa merakam gambar menggunakan dron di kawasan larangan Kementerian Pertahanan (Mindef) tahun lalu.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Hakimie Ab Hadi pada pengurusan kes itu di hadapan Hakim Suhaila Haron di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dikemukakan tertuduh iaitu Li Luorong, 28 dan Chen Junhao, 21, berhubung pertuduhan tersebut. Pada masa sama mahkamah menetapkan 27 hingga 30 April serta 4 dan 6 Jun ini bagi prosiding perbicaraan.
Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama dengan niat mendapatkan maklumat rasmi bagi maksud yang memudaratkan keselamatan negara iaitu mengambil gambar pandangan atas menggunakan dron jenis DJI Mavic 3 Enterprise di kawasan yang diwartakan kawasan larangan tanpa kebenaran.
Kesalahan dilakukan di padang bola B Mindef, Jalan Padang Tembak di sini pukul 11.50 pagi, 6 Ogos 2025. Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 3(a) Akta Rahsia Rasmi 1972 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup sekiranya sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa mengambil gambar dari udara menggunakan dron jenis sama dengan maksud melakukan kerja ukur atau pemeruman tanpa kebenaran pihak berkuasa di lokasi, tarikh dan masa sama.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Rahsia Rasmi 1972 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE














