PETALING JAYA – Pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bentong, Pahang yang terkorban dalam kejadian kebakaran rumah bersama empat ahli keluarganya di Raub, Pahang pada Februari lalu memperoleh 5A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang diumumkan kelmarin.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau berasa sebak apabila dimaklumkan mengenai keputusan peperiksaan Allahyarham Ruby Adira Batreisya Mohd. Alawi.
“Sebak sungguh rasa apabila terima laporan Arwah Ruby Adira Batreisya pelajar MRSM Bentong yang meninggal akibat musibah kebakaran di Kampung Pamah Kulat, Raub pada Ramadan lalu mendapat 5A dalam SPM.
“Kita sedekahkan al-Fatihah buat Almarhumah,” katanya dalam perkongsian di media sosial hari ini.
Tragedi kebakaran menyayat hati pada 26 Februari lalu tersebut meragut nyawa lima sekeluarga apabila rumah mereka di Kampung Pamah Kulat, Jalan Ulu Dong musnah dalam kebakaran.
Selain Ruby Adira Batreisya, 17, kebakaran tersebut turut meragut nyawa ibu bapanya, Mohd Alawi Muhammad, 56, dan Zaleha Adam @ Ibrahim, 44, serta dua adiknya, Ruby Adlina Banin, 14, dan Ruby Azyan Barizah, 10.
Kebakaran itu dilaporkan memusnahkan keseluruhan struktur rumah selain menyebabkan tiga buah kereta dan tiga buah motosikal hangus. – KOSMO! ONLINE














