DI sebalik vokal emas yang sering membuai jiwa peminat, tersimpan sebuah naskhah duka dalam epilog lembaran kehidupan penyanyi, Anuar Zain.
Kehilangan kedua-dua tonggak syurga iaitu ibu, Allahyarhamah Robiah Abdul dan bapa, Allahyarham Haji Zin @ Zain Abdullah dalam tempoh singkat meninggalkan lara yang sukar diterjemah dengan kata-kata.
Bertemu empat mata dalam sesi fotografi eksklusif baru-baru ini, pemilik nama penuh Shahrul Anuar Zain mencurahkan segala kesedihan dan keperihan yang selama ini dipendam kemas selepas pemergian insan kesayangannya.
Mengimbau kembali detik selepas pemergian arwah bapanya, penyanyi berusia 56 tahun itu mengakui dia dan adik-beradik lain menjangkakan ibunya akan terus kuat dan panjang umur.
Meskipun dilanda badai stres yang hebat pada dua minggu pertama, ibunya kembali mempamerkan raut wajah ceria, sekali gus menjentik sedikit kelegaan buat anak-anak.
“Adik-beradik semua sudah bincang dan kami jangka emak akan panjang umur walaupun selepas pemergian abah, dua tiga minggu dia tampak stres.
“Selepas itu dia kembali ceria, selalu cakap dia okey dan buat kita lega. Tengok sekeliling ramai mak cik saya bila suami mereka meninggal dunia, ambil masa setahun untuk pulih.
“Kalau tak, tidak lalu makan, keluar muka pun kecut dan kurus kering. Kita takut mak kita begitu tapi dia dapat lalui, tapi rupa-rupanya tak, dia simpan emosi sebab enggan susahkan anak-anak,” kata Anuar kepada HibGlam.
Malah, pelantun lagu Sedetik Lebih itu turut menyifatkan orang tuanya sebagai insan yang sangat cekal dan enggan meminta bantuan daripada anak-anak kerana tidak mahu membebankan sesiapa.
“Itulah mak abah saya. Selagi boleh sembunyi, mereka takkan buka mulut mengadu domba kepada anak-anak.
“Mereka bukan jenis minta bantuan anak-anak, saya pun tak faham. Ada sekali, abah pergi ambil ubat seorang diri.
“Dia memang tak nak minta tolong, selagi boleh memandu sendiri dia akan pergi berdua dengan mak,” katanya lagi.
Bagaimanapun, sifat tersebut akhirnya menjadi pengajaran buat anak kedua daripada lima orang adik-beradik itu agar tidak terlalu bergantung kepada ihsan orang lain serta sentiasa menguruskan hidup dengan daya usaha sendiri.
“Mak abah saya memang berdikari. Tahu-tahu semua dah tersedia tapi bila fikir balik, mereka tak nak manjakan diri.
“Sebenarnya bagus, kita tak boleh terlalu berharap pada orang. Itu sesuatu benda yang saya tengok dalam kehidupan, jangan mengharapkan apa-apa kepada manusia.
“Ramai orang nak tolong kita sebenarnya tapi jangan jadikan perkara tersebut dalam kepala, yang orang mesti tolong kita. Lama-lama jadi ‘play victim’ dan rasa layak dapat bantuan,” ujarnya.

Tiada penyesalan
Bercerita lanjut, Anuar mengakui bahawa untuk melangkah masuk ke dalam bilik tidur arwah ibu dan bapanya merupakan antara perkara paling sukar untuk dilakukan sehingga ke hari ini.
“Satu perkara sahaja yang saya susah adalah masuk bilik mak abah. Sampai sekarang, saya tak masuk lagi, yang lain okey saja.
“Ada sekali jenguk masa mak masih ada, mak kemas barang abah. Sekarang saya jalan saja melintasi bilik mereka.
“Saya rindu mak melambai di gril setiap kali saya nak gerak keluar dari rumah,” ujar adik kepada penyanyi Ziana Zain itu.
Dalam reda, ada satu perkara yang tidak dilakukan Anuar buat ibunya. Dia tidak sempat memenuhi hasrat ibunya yang ingin menunaikan umrah, namun keadaan tidak mengizinkan.
“Ayah saya masa umur 65 tahun, ada ‘false alarm’, kita ingat dah teruk, saya pun bergegas bawa dia pergi bercuti di Switzerland, sebab dia suka cerita fasal negara itu.
“Mak pula cakap nak pergi umrah, tapi tak sempat. Dia dah ada niat nak ke sana, Allah dah bagi pahala.
“Saya memang tak sangka mak pergi secepat itu sebab rasa nampak okey. Tapi waktu dah tiba kan,” ujarnya.
Meskipun tidak dapat menunaikan hasrat terakhir, Anuar bagaimanapun tidak menyimpan rasa kesal kerana pemergian kedua-dua ibu bapanya dilihat berlaku dalam keadaan yang sangat tenang dan dipermudahkan.
“Saya tak kesal kedua-dua ibu bapa saya pergi. Cantik mereka pergi, abah habis nyawa atas kerusi roda masa tengah mandi, tak dengar apa pun.
“Anak buah saya panggil ‘pak ngah, atuk dah tiada’. Saya pun terus lari turun bawah, sempatlah angkat dia dari kerusi roda naik ke atas katil.
“Selepas meninggal dunia, muka dia terus berubah macam orang muda. Saya terkejut, mak pun bila habis nyawa nampak macam tengah tidur,” ceritanya.

Menangis dalam tandas
Biarpun sering mempamerkan wajah yang kental dan tenang, Anuar mengakui tetap mengalami fasa terendah apabila tembok emosinya runtuh sewaktu sedang bercuti di Singapura, tidak lama selepas pemergian ibunya.
“Pergi berjalan-jalan dengan kawan, makan dan melawat kedai barangan antik.
“Saya rasa macam dah kuat walaupun mak baru pergi dua minggu. Ada satu hari masa masuk tandas, mulut ternyanyi lagu Sedetik Lebih, habis bahagian ‘selepas selamanya’, saya melolong.
“Saya menjerit panggil ‘mak’ dalam bilik air, nasib baik air laju, jiran tak dengarlah kita meraung. Dalam 15 minit saya menangis tak berhenti dan itu paling lama saya menangis,” ujarnya lagi.
Dedahnya lagi, itu merupakan kali pertama dia menangis dalam tempoh yang begitu panjang memandangkan dia seorang yang enggan membiarkan diri larut terlalu lama dalam emosi yang membebankan.
“Bila dah habis menangis, saya fikir macam budak kecil cari mak dan saya pun tergelak. Saya pun pelik, saya tak pernah ada pengalaman begitu.
“Saya pula susah nak menangis sebab saya takut jadi emosi. Saya rasa ketika itu masih terima atau tak sebab mak baru meninggal dunia,” tutupnya.














