fbpx
HAKIM Danish berjaya meraih tiga mata pada GP AS selepas menamatkan saingan di kedudukan ke-13 biarpun bermula pada petak terakhir. - FB ZK RACING

Kebangkitan magis Hakim Danish

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PELUMBA Moto3 negara, Hakim Danish Ramli mempamerkan semangat juang luar biasa apabila bangkit dari petak terakhir untuk menduduki tempat ke-13 pada perlumbaan Grand Prix (GP) Amerika Syarikat (AS), awal pagi semalam.

Biarpun terpaksa memulakan saingan dari kedudukan ke-25 selepas gagal mencatatkan masa susulan kemalangan pada sesi kelayakan, pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets-MSi itu tidak membiarkan insiden tersebut mengganggu fokusnya di litar Circuit of The Americas (COTA).

Anak jati Terengganu itu mempamerkan tunggangan agresif apabila berjaya memintas tujuh pelumba seawal tiga pusingan pertama untuk kembali bersaing dalam kelompok pertengahan.

Meskipun bergelut dengan pengurusan tayar lembut dan kesan fizikal akibat insiden terjatuh pada Sabtu, aksi konsisten memintas seorang demi seorang pelumba dihadapannya membolehkan Hakim Danish menamatkan saingan di kedudukan ke-13, sekali gus membawa pulang tiga mata berharga.

Hasil keputusan itu, Hakim Danish kini menghuni tangga ke-14 keseluruhan dengan mengumpul sembilan mata selepas tiga pusingan perlumbaan.

“Secara keseluruhan, perlumbaan di COTA ini amat sukar. Saya perlu mencari ruang pada setiap pusingan dan selekoh untuk memintas seorang demi seorang pelumba di hadapan saya.

“Saya juga sedikit bergelut kerana menggunakan tayar lembut selain hampir terjatuh pada baki lima pusingan terakhir. Saya akan jadikan pengalaman ini sebagai pengajaran supaya tidak mengulangi kesilapan di sesi kelayakan pada masa hadapan,” kata Hakim Danish.

Sementara itu, Pengurus Pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin memuji kebangkitan yang dipamerkan anak didiknya itu meskipun menganggap hujung minggu di Austin sebagai cabaran teknikal yang besar buat seorang pelumba baharu seperti Hakim Danish.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN