PENGENDALI Harimau Malaya, Peter Cklamovski mahu para pemain mengelak rasa bimbang mengenai kualiti yang ada pada Vietnam pada pertemuan terakhir Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Thien Truong, Nam Dinh, malam ini.
Walaupun sedang dihimpit kekecewaan ekoran penolakan mata hingga gagal melayakan diri ke pusingan akhir Piala Asia, Cklamovski menggesa setiap pemain melupakan perkara luar padang dan beri fokus penuh kepada kualiti permainan.
“Sangat jelas bahawa kami kecewa dan terkilan dengan keputusan tersebut kerana sesuatu yang di luar kawalan kami hingga menjejaskan peluang untuk layak. Tetapi, kami hanya fokus kepada apa yang boleh kami kawal.
“Dalam masa-masa sukar, ia memberi peluang yang sangat baik untuk menilai diri sendiri sebagai lelaki, sebagai satu kumpulan dan sebagai pasukan kebangsaan.
“Saya sangat bangga dengan para pemain, kakitangan dan komitmen yang telah mereka berikan. Kami akan memberikan segalanya malam esok (malam ini) untuk mendapatkan kemenangan,” katanya.
Harimau Malaya kini boleh dikatakan memiliki dua misi berbeza iaitu mendapatkan mata bagi perbaiki kedudukan dalam ranking dunia dan menamatkan kemarau kemenangan ke atas Vietnam di tempat lawan selepas kali terakhir melakukannya pada 12 tahun lalu.
“Malaysia tidak pernah menewaskan Vietnam di tempat lawan selama 12 tahun, jadi ada sesuatu yang perlu dikejar. Ia adalah cabaran yang menarik dan kami akan melakukannya melalui corak permainan bola sepak kami.
“Vietnam mempunyai pemain yang sangat bagus dan Vietnam adalah pasukan yang sangat mantap. Kami menghormati semua lawan kami tetapi kami tetap fokus kepada apa yang perlu kami lakukan untuk mendapatkan keputusan diinginkan,” katanya.














