fbpx
Pengurusan kanan Flex PTP menerima anugerah Majikan Terbaik Malaysia 2025 oleh KWSP Johor baru-baru ini.

Peluang kerjaya bersama Flex PTP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Peluang kerjaya yang luas dengan menerima latihan dan pembangunan menjadi antara faktor utama yang mendorong pekerja setia kekal berkhidmat hampir tiga dekad di Flex PTP, sekali gus membuktikan komitmen syarikat tersebut dalam memba­ngunkan bakat dalaman.

Jurutera Kanan Jabatan Ke­selamatan dan Kesihatan Flex, Rosniza Sapari, 54, berkata, beliau memulakan kerjaya pada 1998 sebagai Pemeriksa Kawalan Kualiti (QC Inspector) sebelum diberi peluang meningkatkan kemahiran dan melanjutkan pengajian dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Menurutnya, sokongan majikan termasuk pembiayaan kursus Safety and Health Officer membolehkan beliau lulus peperiksaan profesional seterusnya menjawat jawatan jurutera keselamatan sehingga ke peringkat kanan hari ini.

“Pihak pengurusan Flex PTP mendengar suara kami dan komi­ted untuk melakukan penambahbaikan demi memperkasakan pe­ngalaman pekerja di sini.

“Kalau kita nak belajar dan tambah ilmu, pihak syarikat memang sokong. Banyak latihan dan kursus ditanggung sepenuhnya.

“Dari situ saya dapat naik ke peringkat lebih tinggi. Pada saya, peluang kerjaya di sini memang jelas dan terjamin,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

ROSNIZA

Anak jati Pontian yang telah berkhidmat selama 28 tahun itu berkata, suasana kerja yang positif serta semangat kekeluargaan dalam kalangan warga kerja menjadi faktor utama beliau terus setia walaupun pernah menerima tawaran luar.

Tambah beliau, aspek kebajikan pekerja turut diberi perhatian termasuk kemudahan rawatan, cuti kecemasan serta sokongan ketika berdepan ujian keluarga.

“Ketika ibu dan ayah saya sakit, pihak atasan sangat memahami keadaan saya. Itu yang buat saya rasa dihargai dan mahu terus berkhidmat di sini,” ujarnya.

Sementara itu, Penyelia Kanan Operator Pengeluaran, Mohd. Sulaiman Afendi, 39, pula menyifatkan keberanian menyahut cabaran sebagai titik perubahan terbesar sepanjang 19 tahun perkhidmatannya di syarikat sama.

Bermula sebagai operator, beliau mengakui tidak pernah terfikir untuk menjadi penyelia, namun dorongan ketua ketika itu yang yakin dengan potensinya membuatkan beliau memilih untuk menerima cabaran berkenaan.

“Ketua saya ada bertanya sampai bila saya hendak bekerja sebagai operator. Dari situ saya fikir panjang dan ambil keputusan untuk sahut cabaran. Saya percaya pada proses dan kepimpinan di sini, kerana ramai penyelia juga naik dari bawah,” katanya.

Menurutnya, disiplin dan ke­sungguhan menjadi kunci utama untuk terus bertahan dan me­ningkat dalam kerjaya, apatah lagi syarikat menyediakan peluang kenaikan pangkat serta dapat menyambung pelajaran ke peringkat diploma dan ke atas tanpa membebankan pekerja dengan kos sendiri.

Selain itu, penglibatan dalam pasukan Emergency Response Team (ERT) turut mematangkan dirinya sebagai pemimpin apabila beliau dilatih mengendalikan situasi kecemasan serta berkongsi ilmu ke­selamatan dengan rakan sekerja.

Mohd. Sulaiman berkata, hasil peluang yang diberikan, beliau kini mampu menyediakan kehidupan lebih selesa buat keluarga terma­suk memiliki rumah dan kenderaan sendiri. Beliau turut menambah bahawa Flex menyediakan kemudahan yang baik untuk pekerja, termasuk asrama, kantin, pusat kesejahteraan pekerja (wellbeing centre), surau, klinik perubatan dalaman, gimnasium serta bilik ibu, antara lain.

Dalam pada itu, Pengurus Sumber Manusia Flex, Norlitah Abdullah berkata, pihaknya berbesar hati menerima pengiktirafan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Johor sebagai salah satu Majikan Terbaik Malaysia 2025.

“Penghargaan ini bukan sekadar bukti pematuhan kami terhadap piawaian perundangan, malah ia mencerminkan komitmen jitu Flex dalam menyediakan persekitaran kerja yang inklusif dan menyokong.

“Terima kasih kepada seluruh warga Flex yang sentiasa memberikan kepercayaan, anda adalah nadi yang menjadikan setiap kerjaya di sini lebih bermakna,” katanya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN