LONDON – Bintang sensasi Chelsea, Cole Palmer dilapor tidak menolak peluang untuk meninggalkan Stamford Bridge pada musim panas selepas mengakui gagal menyesuaikan diri di kelab berkenaan.
Tiga kelab gergasi, Manchester United, Real Madrid dan Bayern Munich dilapor memantau secara dekat perkembangan itu ketika Palmer dinilai pada harga £150 juta (RM788.82 juta) ketika kontraknya hanya akan berakhir pada 2033.
Palmer, 23, difahamkan kecewa dengan perubahan taktikal Chelsea ketika ini yang dianggap menafikan kebebasannya di atas padang selain merindui gandingan bersama Nicolas Jackson yang berhijrah secara pinjaman ke Bayern Munich.
Jackson memiliki kepantasan yang membolehkan Palmer mengoptimumkan kemahiran dan ia terbukti apabila pemain itu meledak 18 gol musim lalu serta mencipta 14 umpanan gol, berbanding gandingan ketika ini, Joao Pedro dan Liam Delap.
Musim ini juga bukanlah tempoh terbaik apabila bekas pemain Manchester City itu berdepan isu kecederaan betis dan tumit sekali gus gagal membantu Chelsea yang kini bergelut di kedudukan keenam Liga Perdana Inggeris dan berisiko terlepas aksi Liga Juara-Juara (UCL).
Laporan sebelum ini menyebut bahawa Palmer berhasrat untuk kembali ke kampung halamannya, Manchester dan terbuka dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford.
Pengarah Bola Sepak United, Jason Wilcox merupakan ketua akademi City ketika Palmer menyertai pasukan itu dan beliau percaya bahawa pemain itu memiliki kualiti untuk merangkul gelaran Ballon d’Or suatu hari nanti.
Hubungan yang baik antara Wilcox dan Palmer sebelum ini menjadi modal besar buat United untuk memujuk Palmer menyertai kelab itu sekiranya dia benar-benar sudah bersedia untuk meninggalkan London. – AGENSI














