SAYA memilih untuk bercuti di kawasan Asia Tenggara iaitu Vietnam kerana ingin meneroka destinasi yang lebih dekat tetapi tetap menawarkan pengalaman unik dan berbeza.
Justeru, saya bersama keluarga memilih Pulau Phu Quoc sebagai destinasi utama kerana lokasi tersebut bukan sekadar pulau peranginan biasa, sebaliknya turut diceriakan dengan taman tema terkenal iaitu Sunset Town.
Keindahan pantai dan seni bina bangunan berinspirasikan gaya Mediterranean dan Itali mewarnai suasana matahari terbenam yang membuatkan pelawat seolah-olah berada di Eropah.
Percutian ini amat bermakna buat kami kerana segala perancangan diuruskan sendiri tanpa menggunakan khidmat ejen pelancongan.
Walaupun membawa anak kecil, namun perjalanan tetap berjalan lancar hasil perancangan teliti serta penyusunan jadual perjalanan yang mengutamakan keselesaan keluarga.
Menariknya, terdapat penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Phu Quoc dan rakyat Malaysia bebas visa. Selain itu, kos perbelanjaan lebih berpatutan berbanding destinasi lain.
Pulau ini juga mempunyai pelbagai tarikan mesra keluarga seperti taman tema, taman safari dan kereta kabel merentasi laut untuk menikmati seni bina ala Inggeris yang unik.
Pulau ini sangat sesuai untuk percutian santai bersama anak kecil tanpa perlu bergerak terlalu jauh antara satu lokasi ke satu lokasi lain.
Ini kerana beberapa tempat tumpuan popular warga setempat hanya terletak berdekatan.
Sepanjang percutian, kami menginap di dua kawasan utama iaitu Grand World dan Sunset Town yang masing-masing mempunyai tarikan tersendiri.
Di Grand World, kami berpeluang menaiki teksi air, buggy ride serta menonton pertunjukan muzik air percuma di Love Lake yang sangat cantik dengan bangunan berwarna-warni dan sesuai untuk berjalan santai bersama anak kecil.

Sepanjang berada di Phu Quoc, kami turut mengunjungi VinWonders Phu Quoc yang merupakan taman tema terbesar di Vietnam.
Taman tema ini mempunyai zon permainan luar, taman air serta ruang akuarium besar.
Terdapat pelbagai permainan yang sesuai untuk kanak-kanak termasuk kawasan air cetek dan pertunjukan Mermaid Show yang menarik perhatian kami sekeluarga.
Kami juga melawat Vinpearl Safari Phu Quoc dan menaiki tram safari untuk melihat haiwan seperti zirafah serta kuda belang dari jarak dekat di kawasan zoo yang luas serta selesa.
Pada masa sama, kami berpeluang menaiki Kereta Kabel Hon Thom yang merupakan antara kereta kabel terpanjang di Asia dengan jarak sepanjang lapan kilometer di atas laut.
Pemandangan laut yang terbentang luas dari atas menjadi antara momen paling istimewa sepanjang percutian kami.

Pada waktu malam di Sunset Town pula, suasananya meriah dengan seni bina ala Mediterranean serta pertunjukan api dan bunga api yang diadakan hampir setiap hari.
Sepanjang melihat persembahan tersebut, anak kami berasa sangat teruja, sekali gus menjadi satu kenangan percutian keluarga yang tidak dapat dilupakan.
Percutian ini juga mengajar saya bahawa membawa anak kecil ke luar negara bukanlah sesuatu yang mustahil jika dirancang dengan baik.
Kunci utama adalah fleksibiliti dan tidak memadatkan jadual dengan memastikan setiap hari hanya mempunyai satu atau dua aktiviti utama supaya anak tidak terlalu penat.
Apabila anak selesa, ibu bapa juga dapat menikmati percutian dengan lebih tenang.
Pengalaman ini juga memberi keyakinan bahawa keluarga muda mampu merancang percutian sendiri dengan lebih tersusun dan menjimatkan wang ringgit.
Setiap kali merancang percutian, saya akan membuat kajian terlebih dahulu melalui carian di internet dan media sosial untuk mendapatkan gambaran tentang lokasi, pengangkutan, cuaca serta tip daripada pelancong lain.














