KUALA NERUS – Perbuatan tamak pengusaha sebuah bot pelancong membawa lebih muatan membawa padah apabila ditahan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Pulau Redang dekat sini semalam.
Bot yang membawa 25 penumpang sedangkan had maksimum cuma 12 orang tersebut ditahan pasa kedudukan kira-kira 48.15 kilometer (km) dari perairan Kuala Terengganu.
Pengarah Maritim Terengganu, Kapten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, pemeriksaan juga mendapati tiga kru bot itu juga tidak memakai jaket keselamatan.
“Perbuatan pengusaha bot tersebut bukan sahaja melanggar syarat permit malah membahayakan nyawa penumpang.
“Tiga kru berusia dalam lingkungan 19 hingga 23 tahun juga didapati mengabaikan keselamatan diri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Hamiludin berkata, tindakan tegas telah diambil dengan mengarahkan bot pelancong itu berhenti sebelum kesemua 25 penumpang diarahkan turun dengan selamat.
Beliau berkata, tiga kru terlibat pula ditahan manakala bot pula disita sebelum ditunda ke Jeti Markas Maritim Terengganu, Kuala Terengganu dekat sini. – KOSMO! ONLINE














