fbpx
Gambar hiasan

KPDN kuat kuasa larangan jual RON95 kepada kenderaan asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menguatkuasakan sepenuhnya larangan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing bermula Rabu depan (1 April).

Langkah tersebut merupakan antara strategi bagi memastikan subsidi bahan api terus dinikmati oleh rakyat Malaysia tanpa ketirisan.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan tersebut.

“Pemilik dan pemandu kenderaan asing atau pengusaha stesen minyak yang melanggar peraturan ini akan berhadapan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pada tarikh sama, KPDN turut mengarahkan semua stesen minyak di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan melaksanakan kawalan penjualan diesel bersubsidi.

Katanya, penjualan bahan api itu akan dihadkan mengikut kategori kenderaan iaitu sebanyak 50 liter, 100 liter dan 150 liter bagi setiap transaksi.

“Langkah ini adalah penting bagi memastikan bekalan minyak diesel yang dijual pada harga subsidi RM2.15 seliter di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan tidak dieksploitasi oleh sindiket penyeludupan atau sektor industri yang tidak layak,” ujarnya.

Dalam pada itu, Azman berkata, seramai 2,400 pegawai penguat kuasa KPDN di seluruh negara kini berada dalam keadaan siap siaga bagi mempertingkatkan pemantauan di lapangan.

Tambahnya, melalui Op Tiris 4.0, KPDN akan memperkukuh kerjasama dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan , Polis Diraja Malaysia serta agensi lain bagi menutup ruang ketirisan.

“KPDN memberi amaran keras bahawa sebarang cubaan oleh mana-mana pihak, sama ada individu mahupun sindiket yang cuba mengambil kesempatan dalam situasi konflik global ini tidak akan dikompromi.

“Tindakan penguatkuasaan paling tegas akan diambil tanpa sebarang toleransi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN