PETALING JAYA – Kenaikan harga bahan api ketika ini pasti akan memberi tekanan kepada kos sara hidup rakyat kerana ia bukan sahaja meningkatkan kos pengangkutan, malah bakal memberi kesan kepada harga barangan dan perkhidmatan.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Mohammad Noorizzuddin Nooh berkata, pendekatan berjimat tidak boleh lagi dilihat secara umum, sebaliknya perlu dirancang secara strategik.
Menurutnya, rakyat perlu lebih berdisiplin dalam mengurus penggunaan harian termasuk mengurangkan perjalanan yang tidak perlu.
“Amalan seperti berkongsi kenderaan serta merancang perjalanan dengan lebih efisien mampu mengurangkan penggunaan minyak secara keseluruhan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau turut menekankan kepentingan penyelenggaraan kenderaan dan gaya pemanduan yang cekap bagi memastikan penggunaan bahan api lebih optimum.
Katanya, dari sudut ekonomi tingkah laku, kesedaran terhadap corak perbelanjaan harian atau ‘consumption awareness’ menjadi faktor penting dalam memastikan setiap perbelanjaan dibuat secara bijak.
“Rakyat perlu lebih peka terhadap ke mana wang dibelanjakan dan mengutamakan keperluan berbanding kehendak,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, penyesuaian gaya hidup yang lebih mampan juga perlu diberi perhatian dalam jangka panjang.
Menurutnya, penggunaan pengangkutan awam boleh menjadi alternatif terbaik sekiranya sistem yang disediakan adalah efisien dan mudah diakses.
“Langkah ini bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan kepada bahan api, malah membantu mengurangkan beban kewangan isi rumah,” jelasnya.
Mengulas mengenai keputusan kerajaan menyelaraskan kuota Budi95 daripada 300 liter kepada 200 liter, beliau berkata, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha rasionalisasi subsidi secara bersasar.
Katanya, dari perspektif ekonomi awam, penyasaran subsidi penting bagi memastikan sumber negara diagihkan secara lebih efisien serta mengelakkan ketirisan.
“Pengurangan kuota ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam mengawal beban fiskal dan memastikan subsidi sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan bahawa langkah tersebut mungkin memberi kesan jangka pendek kepada segmen tertentu seperti pekerja sektor gig dan individu yang berulang-alik dalam jarak jauh.
Jelasnya, secara keseluruhan, dasar tersebut mencerminkan peralihan ke arah pengurusan ekonomi yang lebih berdisiplin, namun kejayaannya bergantung kepada keberkesanan pelaksanaan serta sokongan alternatif seperti sistem pengangkutan awam yang lebih baik. – KOSMO! ONLINE














