GEORGE TOWN – Suasana tenang di Kampung Din Manbo, Batu Feringghi di sini bertukar cemas apabila 11 buah rumah penduduk di kawasan itu musnah dalam satu kejadian kebakaran, hari ini.
Rata-rata mereka dikatakan berlari meninggalkan kediaman masing-masing sambil melaungkan ‘Allahuakbar’ ketika api sedang marak.
Bagaimanapun, setakat ini tiada kecederaan mahupun kemalangan jiwa melibatkan penghuni kediaman di situ dilaporkan.
Situasi kecoh tersebut turut dirakam orang awam sebelum tular di media sosial.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 11.29 pagi tadi.
Menurutnya, operasi menyelamat dan memadamkan kebakaran melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal dengan bantuan BBP Teluk Bahang, Jalan Perak dan Bayan Baru.
“Kebakaran melibatkan jumlah keseluruhan 11 unit rumah dan telah berjaya dipadamkan sepenuhnya. Maklumat awal tiada mangsa dilaporkan terlibat.
“Anggaran kemusnahan empat buah rumah setakat ini adalah kira-kira 80 peratus. Setakat pukul 12.50 tengah hari tadi, kerja-kerja ‘overhaul’ sedang dijalankan dan maklumat akan dikemaskini,” katanya di sini, sebentar tadi.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, akses masuk ke lokasi kebakaran adalah terlalu sempit manakala tekanan air juga sangat rendah. – KOSMO! ONLINE














