fbpx
Lapan suspek ketika dibawa ke Mahkamah Majistret George Town, pagi tadi. DANIAL SAAD/KOSMO!

Lapan individu merusuh pukul anggota polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Seramai lapan lelaki ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kejadian pergaduhan sehingga menyebabkan tiga anggota polis cedera dalam kejadian di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Sungai, Sungai Pinang di sini, malam tadi.

Kesemua suspek warga tempatan yang masing-masing berusia 28 hingga 38 tahun itu diberkas sejurus kejadian berlaku kira-kira pukul 9.50 malam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima permintaan bantuan daripada anggota polis yang bertugas di lapangan kerana menghadapi masalah semasa menjalankan tugas penguatkuasaan undang-undang di lokasi berkenaan.

Tangkap layar kejadian merusuh di Flat PPR Jalan Sungai, Sungai Pinang, malam tadi.

Menurutnya, kejadian berlaku semasa empat anggota terbabit mengejar seorang individu mencurigakan yang melarikan diri ke arah pangsapuri tersebut.

“Telah berlaku perselisihan faham dengan beberapa orang awam dan akibat kejadian itu, tiga daripada empat anggota polis yang bertugas telah mengalami kecederaan ringan semasa pergelutan.

“Lapan suspek telah ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga 28 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu merusuh,” katanya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, kesemua suspek terbabit turut disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah atau ugutan bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan tugas rasmi.

Terdahulu, kesemua suspek terbabit dibawa ke Mahkamah Majistret George Town dalam keadaan tangan bergari dan mengenakan pakaian lokap polis berwarna jingga kira-kira pukul 8.40 pagi tadi.

Sebelum itu, tular beberapa video yang memaparkan kejadian pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki yang dipercayai dirakam penduduk perumahan berkenaan sejak malam tadi.

Video tersebut turut menunjukkan kenderaan polis dirosakkan kumpulan lelaki terbabit selain kehadiran banyak kereta peronda polis (MPV) di lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN