fbpx
Syarikat feri Langkawi berisiko gulung tikar jika jadual perjalanan tidak dicatu. - Gambar Hiasan

Feri Langkawi berisiko gulung tikar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LANGKAWI – Industri feri ke Langkawi berdepan risiko gulung tikar sekiranya langkah catuan jadual perjalanan tidak dilaksanakan segera susulan lonjakan mendadak harga diesel industri.

Pengurus Besar Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Dr. Baharin Baharom berkata, kenaikan harga diesel yang melebihi 100 peratus telah memberi tekanan besar kepada kos operasi pengusaha feri, sekali gus menjejaskan kelangsungan operasi harian. Harga diesel industri itu kini berada pada kadar RM7.30 seliter.

Sehubungan itu, katanya, pengusaha feri terpaksa mengambil langkah menyusun semula jadual perjalanan dengan mengurangkan kekerapan perjalanan daripada lima kepada tiga trip sehari bermula semalam.

“Terdapat pihak yang menyalahkan pengusaha feri atas tindakan pengurangan jadual ini dan menganggap ia menjejaskan kemudahan kepada pengguna.

“Persepsi tersebut tidak mengambil kira realiti sebenar industri. Untuk rekod, kadar tambang feri ke Langkawi selama ini merupakan antara yang paling rendah di Malaysia iaitu sekitar 88 sen per batu nautika,” katanya di sini hari ini.

Kata beliau, kadar itu jauh lebih rendah berbanding laluan ke pulau-pulau lain seperti Pulau Tioman dan Pulau Pangkor yang mencecah sekitar RM2 per batu nautika.

“Kadar tambang yang rendah ini telah lama dikekalkan demi memastikan akses pelancongan yang mampu milik, namun dalam keadaan kos operasi yang meningkat mendadak, ia kini menjadi cabaran utama kepada kelangsungan perniagaan,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN