SKUAD berbasikal trek negara dijangka berdepan cabaran sukar pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Tagaytay, Filipina bermula hari ini hingga 31 Mac nanti.
Velodrom Tagaytay City yang baru dibuka tahun lalu memiliki reka bentuk yang agak berbeza, sekali gus memerlukan pelumba-pelumba negara untuk menyesuaikan diri dengan cepat bagi menghasilkan kayuhan terbaik.
Ketua jurulatih skuad berbasikal trek kebangsaan, Harnizam Basri tanpa berselindung mengakui reka bentuk velodrom tersebut mampu menjadi ‘perangkap’ buat setiap pelumba, terutamanya di bahagian selekoh.
“Velodrom ini masih baharu dan pelumba-pelumba mungkin berdepan kesukaran, lebih-lebih lagi di bahagian selekoh kerana reka bentuknya berbeza berbanding velodrom Nilai. Saya juga tidak pasti sama ada ini merupakan kejohanan pertama di situ.
“Struktur trek dengan laluan lurus yang lebih pendek selain selekoh panjang memang menuntut pelumba-pelumba untuk menyesuaikan diri dengan segera. Pelumba mungkin berdepan kesukaran di selekoh,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan Muhammad Ridwan Sahrom akan bergandingan bersama Mohd. Akmal Nazimi Jusena dan Muhammad Fadhil Zonis bagi membawa cabaran negara dalam acara pecut berpasukan lelaki.
Harnizam menaruh kepercayaan kepada anak-anak buahnya itu untuk menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan terbaik dalam acara tersebut meskipun meraih pingat gangsa pada edisi tahun lalu.
“Pasukan berada dalam keadaan cukup baik ketika ini dan kami meletakkan sasaran untuk berada di kedudukan empat teratas. Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada prestasi di hari perlumbaan,” ujarnya.
Sementara itu, bagi kategori wanita, Malaysia akan mempertaruhkan gandingan Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri, Anis Amira Rosidi dan Nur Alyssa Farid.














