KUANTAN – Tindakan tegas membuang pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang memijak al-Quran diharap menjadi pengajaran kepada semua warga universiti agar tidak mengulangi tindakan seperti itu.
Naib Canselor UMPSA, Prof. Ts. Dr. Yatimah Alias berkata, tindakan tatatertib berkenaan dibuat selepas Jawatankuasa Tatatertib Pelajar UMPSA bersidang pada 9 Mac lalu.
“Berdasarkan tindakan tatatertib, pelajar didapati bersalah dan dikenakan hukuman dibuang daripada universiti mengikut Kaedah 58 Kaedah-kaedah Universiti Dan Kolej Universiti (UMPSA) (Tatatertib pelajar) 2024.
“Keputusan ini diharap menjadi pengajaran kepada warga Universiti sama ada pelajar mahupun staf agar lebih berhati-hati dalam semua perbuatan atau tindakan agar tidak mencemar nama baik universiti,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Yatimah, UMPSA tidak akan berkompromi dengan penyebaran kandungan yang menghasut kebencian mengaitkan agama, kaum dan institusi diraja (3R) sehingga mencetuskan ketegangan kaum dan menggugat keharmonian awam di negara ini.
Sebelum ini tular dalam media sosial apabila seorang pelajar UMPSA memuat naik gambar memijak al-Quran sehingga mencetuskan rasa marah dalam kalangan umat Islam.
Ekoran itu juga UMPSA menyatakan siasatan giat dijalankan dan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pelajar yang didapati bersalah atas apa-apa kesalahan tatatertib di bawah Kaedah-kaedah Universiti dan Kolej Universiti (UMPSA) (Tatatertib Pelajar) 2024.
Susulan itu juga tertuduh S.Vikneswaran,21, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan atas dua pertuduhan iaitu memijak al-Quran dan memuat naik gambar perbuatan itu di media sosial. – KOSMO! ONLINE














