fbpx

‘Bayangkan ada yang terjebak dadah, seawal usia 12 tahun’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AIDILFITRI selalunya menjanjikan keriangan, namun tahun ini, Astro memilih untuk menyentuh sisi kemanusiaan yang paling dalam. Seumpama pelengkap yang memberikan rasa pada hidangan raya, kehadiran telefilem eksklusif Doa Sang Pendosa terbitan Red Bean Productions muncul sebagai sebuah naskhah berat yang bakal meninggalkan kesan mendalam di sanubari penonton.

Naskhah ini bukan sekadar paparan visual biasa sebaliknya sebuah refleksi sosial yang digarap teliti penulis skrip tersohor, Siti Jasmina Ibrahim dan diterjemahkan ke skrin dengan penuh jiwa oleh pengarah berbakat, Issey Fazlisham. 

Membariskan permata industri seni yang memiliki kredibiliti luar biasa, Datuk Fauziah Nawi, Fatimah Abu Bakar, Farah Ahmad, dan Nadia Aqilah, karya berkenaan membentangkan kualiti lakonan yang meruntun emosi.

Berlatarkan kecekalan hidup di sebalik tembok Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Kota Bharu, Doa Sang Pendosa mengangkat tema kepincangan sosial dan pergelutan emosi wanita merentas usia. 

Doa Sang Pendosa menceritakan fasa ‘kematian’ jiwa dan kebangkitan semula mereka yang terperangkap dalam jerat najis dadah. Di celah gema takbir raya, naskhah ini mengajak kita merenung erti sebenar sebuah pengampunan dan peluang kedua.

Bagi Farah Ahmad, menggalas watak dalam naskhah berkenaan bukan sekadar tuntutan kerja, tetapi satu amanah besar. Dia menyifatkan pembabitannya sebagai satu kembara karakter yang luar biasa, menuntut kekuatan fizikal dan mental untuk menghidupkan roh seorang wanita yang sedang bertarung dengan sejarah hitamnya sendiri.

Naskhah penuh keinsafan yang mula menemui penonton pada 22 Mac 2026 secara eksklusif menerusi Astro Prima (akan diulang siar) tersebut sebuah karya yang membuktikan bahawa di sebalik setiap dosa, sentiasa ada doa yang mendambakan sinarnya.

Doa Sang Pendosa menarik kerana berkisar tentang cerita di sebalik kehidupan pemulihan klien Puspen yang perlu dihebahkan. Harapan mereka dan jalan mereka masih ada cahaya jika tekad. 

“Sejarah hitam yang berlaku itu tidak mengira umur dan latar belakang juga mengingatkan kita tentang betapa penting kasih sayang dan sokongan keluarga atau orang terdekat.

“Bayangkan ada yang paling muda terjebak dadah umur 12 tahun. Berat untuk memahami hal ini, namun banyak berlaku dan wujud,” ujar Farah lagi.

Bagi Farah Ahmad, menggalas watak dalam naskhah berkenaan bukan sekadar tuntutan kerja, tetapi satu amanah besar.

Membalas tanpa membunuh

Berbicara tentang ‘persandingan’ dengan primadona hebat Fatimah Abu Bakar dan Fauziah Nawi, Farah mengaku teruja sekali gus menjadikan Doa Sang Pendosa sebagai ‘padang permainan’ yang seronok untuk mereka saling berbagi emosi.

“Bila berpeluang bergandingan dengan barisan pelakon-pelakon dahsyat tentu saya lebih teruja untuk berlakon. Apa lagi Fatimah dan Fauziah, dua guru lakonan saya. Bekerja tetapi pada masa sama ‘bermain’ dan saling berbalas energi tanpa ‘membunuh’ satu sama lain.

“Pendek kata memang seronok meski ada banyak lontaran dialog yang agak berat dan saat menghafal dialog macam boleh tanam ‘pokok Krismas’ dan bimbang penonton tidak dapat menerima mesej dengan jelas tapi terlibat dalam Doa Sang Pendosa adalah satu lagi catatan karier yang bermakna buat saya,” ujarnya panjang lebar.

Sementara itu, ‘the one and only’ Fauziah Nawi pula bersyukur kerana terlibat dalam Doa Sang Pendosa bersama barisan pelakon hebat. 

“Meski ramai pelakon muda termasuk pengarah, Issey, saya melihat kami saling memiliki chemistry yang menjadikan perjalanan Doa Sang Pendosa mengalir baik,” kata Fauziah.

Nadia Aqilah pula melihat Doa Sang Pendosa daripada perspektif bagaimana sang pengarah mengangkat jalan cerita yang dikemudi kesemua watak utamanya adalah wanita selain mengangkat isu yang cukup hebat untuk dikupas.

“Secara peribadi, Doa Sang Pendosa sangat menarik kerana menampilkan semua aktres atau pelakon wanita. Ia mengungkap isu-isu wanita yang sudah lama tidak dipaparkan secara ‘keras’. 

“Selalu kita tonton kalau wanita bawa watak isteri dan adik misalnya tapi itu tidak terjadi dalam telefilem ini,” kata Nadia.

Dan, tentu sahaja Nadia tidak akan pernah menolak untuk terbabit dalam sebuah naskhah bersama tiga pemain industri yang dihormatinya iaitu Fauziah, Fatimah dan Farah.

“Akhirnya saya dapat berkongsi satu naskhah dengan tiga figura yang sangat saya hormati dan sayang. Saya juga dapat bekerja buat pertama kali dengan rakan pelakon lain dan Issey yang kini sudah menjadi pengarah kegemaran saya, maka Doa Sang Pendosa sangat mengesankan buat saya,” katanya seraya berkata telefilem tersebut seperti menjadi pentas pelakon teater beraksi bersama.

Fatimah Abu Bakar dan rakan senior, Fauziah Nawi terlibat sebagai antara peneraju projek drama, Doa Sang Pendosa.

Manusia

Sementara Fatimah Abu Bakar memainkan karakter penagih dadah yang mencari ketenangan hidup di dalam Puspen menyifatkan ‘permainan’ emosi wataknya, June memberi banyak makna tentang seorang manusia.

“Ini cerita tentang persahabatan, kekuatan, keampunan yang dicari manusia yang walaupun sering membuat kesilapan dengan bimbingan dan insaf kita boleh bangkit menjadi orang yang baik,” katanya.

Fatimah turut menzahirkan rasa syukur dapat bermain satu naskhah bersama Fauziah yang dihormati, pelakon-pelakon muda berbakat besar dan paling penting melakar pengalaman manis beraksi di dalam Puspen.

“Saya rindu sebenarnya berlakon di Puspen dengan pasukan yang sangat hebat dan banyak membantu. 

“Saya akan kenang pengalaman berlakon di sini sebagai sesuatu yang manis buat saya,” katanya.

Doa Seorang Pendosa mengisahkan tentang onak duri June, Maria dan Rina sebagai klien yang mendapatkan bimbingan di Puspen bersama warden bernama Zaiton menjalani kehidupan terutama dalam suasana sayu menyambut Aidilfitri.

Konflik demi konflik tercetus sehingga persahabatan erat yang dijalin menjadi goyah malah ‘peperangan’ dengan diri sendiri menjadikan Doa Sang Pendosa sebagai sebuah telefilem yang cukup berbekas di hati.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI