DUNGUN – Seorang lagi mangsa kemalangan di Kilometer 59, Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Felda Jerangau di sini, semalam meninggal dunia menjadikan tiga mangsa disahkan maut dalam nahas tersebut.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, mangsa Nur Radya Athalia Mohamad Redzuan, 4, yang merupakan anak bongsu Nurul Hafizah Shaary, 39, menghembus nafas terakhir sewaktu menerima rawatan di Klinik Kesihatan Felda Jerangau di sini.
“Terdahulu, Nurul Hafizah dan anak keduanya, Muhammad Redzuan Arash, 13, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
“Selain itu , anak sulung mangsa, Nur Raesha Amanda, 14, pula cedera parah pada bahagian kepala manakala anak keempat mangsa, Nur Rakhis Aral Yn patah tangan kanan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Maizura berkata, siasatan awal percaya kemalangan pada pukul 6.10 petang itu berpunca selepas kenderaan utiliti sukan (SUV), Perodua Aruz dipandu Nurul Hafizah yang merupakan pekerja syarikat penapis air hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.
Beliau berkata, kenderaan tersebut kemudiannya merempuh paip air seterusnya tiang elektrik yang terdapat di tepi jalan.
“Mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan manakala mayat ketika-tiga mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk proses bedah siasat,” katanya. – KOSMO! ONLINE














