WASHINGTON – Di saat bilangan ejen Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA) semakin berkurangan untuk menguruskan pemeriksaan keselamatan penumpang yang berbaris panjang selama berjam-jam, tanpa dibayar gaji, Presiden Donald Trump campur tangan semalam, lapor saluran berita CNN.
Beliau mengancam menghantar pegawai Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam (ICE) ke lapangan- lapangan terbang di serata Amerika Syarikat menjelang esok jika Kongres menolak pelan penamatan untuk penutupan kerajaan separa.
Pentadbiran Trump belum menjelaskan peranan sebenar yang akan dipikul ejen-ejen ICE di lapangan terbang memandangkan mereka tidak dilatih untuk melakukan pemeriksaan keselamatan seperti kakitangan TSA untuk tugas tersebut.
“Presiden Trump boleh mengarahkan (ejen ICE) datang ke sini, tetapi saya tidak nampak bagaimana ini dapat membantu kami mengharungi tempoh ini,” kata pegawai TSA Atlanta, George Borek kepada CNN, sambil menekankan keperluan latihan yang sewajarnya.
Ketika pemimpin Parti Republikan dan Demokrat cuba merangka perjanjian untuk membiayai Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS), merangkumi 61,000 kakitangan TSA yang bekerja tanpa gaji, terdapat sedikit petanda kebuntuan di Kongres itu akan berakhir sebelum waktu rehat yang dijadualkan.
Ancaman Trump itu hadir ketika beratus-ratus ejen TSA meletak jawatan susulan tidak dibayar gaji.
Sementara itu, pelancong yang kecewa kini berdepan barisan pemeriksaan keselamatan sangat panjang di beberapa lapangan terbang utama, dengan para pegawai memberi amaran keadaan mungkin menjadi lebih buruk jika perbalahan antara Republikan dan Demokrat mengenai penguatkuasaan imigresen persekutuan berterusan.
Masih tidak jelas sejauh mana bantuan yang boleh diberikan oleh ICE untuk mengurangkan masa menunggu yang lama sekiranya Trump mengerahkan mereka.
Ejen-ejen tersebut berpotensi membantu dalam peranan terhad, seperti menguruskan barisan, mengarahkan penumpang atau membantu melancarkan proses di pusat pemeriksaan bagi membolehkan pegawai TSA terlatih menumpukan perhatian kepada fungsi keselamatan kritikal.
Selama enam hari berturut-turut pada minggu lalu, kadar ketidakhadiran anggota TSA melonjak melebihi 9 peratus dengan rekod tertinggi 10.22 peratus dicatatkan pada Isnin lalu, ketika kakitangan terus bekerja tanpa gaji.
Kesan terhadap pelancong akibat ketidakhadiran ini berbeza-beza mengikut lapangan terbang, dan ketidaktentuan ini dijangka berterusan.
Lebih satu pertiga anggota TSA di Lapangan Terbang Antarabangsa Hartsfield-Jackson Atlanta tidak hadir bekerja minggu lalu, memaksa penumpang menunggu di barisan keselamatan sehingga dua jam.
Kelmarin lebih separuh pekerja TSA di Lapangan Terbang Antarabangsa William P. Hobby, Houston, turut dilaporkan tidak hadir. – AGENSI














