PETALING JAYA – Menjelang sambutan Aidilfitri, ramai yang berisiko mengalami masalah kesihatan akibat tabiat makan berlebihan dan gaya hidup tidak teratur sepanjang hari raya.
Menerusi satu hantaran oleh Dr. Azra Abd Aziz di laman Threads, masalah sebenar bukan kerana makan banyak, tetapi lebih kepada corak yang sama setiap tahun, iaitu makan tanpa henti, minum air kurang, dan tidur tidak mencukupi sehingga badan tidak sempat pulih.
“Raya bukan sekadar satu hidangan. Ia melibatkan beberapa rumah, beberapa hidangan, dan beberapa hari. Ini menyebabkan badan mengalami ‘overload’,” jelasnya.
Beliau turut berkongsi beberapa langkah persediaan sebelum pulang ke kampung iaitu tidur secukupnya, memastikan penghidratan mencukupi sehari sebelum perjalanan dan tidak memaksa diri untuk tidak mengambil sarapan.
Antara senarai semak yang disyorkan Dr. Azra termasuk membawa botol air, ubat asas seperti panadol atau ubat gastrik dan snek ringan untuk mengelak makan tanpa henti.
Semasa beraya pula, beliau menasihatkan pengambilan jumlah kecil, kunyahan perlahan, serta berhenti rehat di antara rumah.
“Perut anda bukan ‘buffet challenge’. Jangan paksa diri makan hanya kerana tidak mahu mengecilkan hati tuan rumah. Kesihatan lebih utama daripada adat,” katanya.
Tanda-tanda badan mula telampau kenyang termasuk kembung, cepat penat, pening, loya, dan perubahan mood.
Bagi mengurangkan risiko ini, beliau menasihatkan berjalan kaki 5–10 minit selepas makan, mengimbangi hidangan berat dan ringan, serta berehat apabila perlu.
“Raya sepatutnya dinikmati, bukan diharungi dengan tubuh yang sakit,” katanya.- KOSMO! ONLINE














