SEBERANG PERAI – Polis Pulau Pinang membuat persiapan rapi bagi menghadapi peningkatan trafik menjelang Aidilfitri dengan jangkaan sehingga 1.5 juta kenderaan akan memasuki negeri ini dalam tempoh enam hari bermula 19 hingga 24 Mac ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Azizee Ismail berkata, angka itu menunjukkan peningkatan berbanding 1.2 juta kenderaan pada 2024 dan 1.35 juta tahun lalu.
Jelasnya, bagi memastikan kelancaran trafik, seramai 380 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) ditugaskan secara berterusan kerjasama pelbagai agensi.
“Tumpuan turut diberikan kepada beberapa laluan yang dikenal pasti sebagai hot spot dan black spot kemalangan di seluruh negeri termasuk di Seberang Perai serta bahagian pulau,” katanya selepas melancarkan Op Selamat 26 Hari Raya Aidilfitri Peringkat Kontinjen Pulau Pinang di Plaza Tol Juru arah utara di sini, hari ini.
Beliau berkata, antara laluan hot spot yang dikenal pasti adalah Jalan Teluk Air Tawar ke Jalan Bagan Luar di Seberang Perai Utara (SPU), Jalan Perusahaan Perai ke Jalan Kulim di Seberang Perai Tengah (SPT) serta Jalan Besar Simpang Empat Kilometer 12 hingga 32 di Seberang Perai Selatan (SPS).
“Di Timur laut pula melibatkan Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu- Jalan Ayer Itam dan Jalan Ayer Itam – Paya Terubung (Timur Laut), Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Tun Dr. Awang di Barat Daya serta Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (LLB)/Open Highway,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata tindakan tegas akan diambil terhadap enam kesalahan utama trafik seperti memandu melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit, memandu di lorong kecemasan dan melanggar lampu isyarat. – KOSMO! ONLINE














