PETALING JAYA – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) mecatat sejarah baharu apabila mengumumkan agihan dividen tertinggi berjumlah RM21,002,941 bagi tahun kewangan 2024.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, jumlah dividen itu merupakan jumlah tertinggi sejak penubuhan organisasi itu pada 1972.
Menurutnya, agihan tersebut melibatkan 14 Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) selain memberi manfaat kepada rangkaian 212 Pertubuhan Peladang di seluruh negara serta lebih 400,000 ahli peladang.
“Pembayaran dividen itu turut mencerminkan pemulihan prestasi kewangan NAFAS selepas melalui beberapa tempoh mencabar sebelum ini.
“Pencapaian tersebut adalah hasil pelaksanaan Pelan Reformasi NAFAS 2.0 yang dilaksanakan bagi memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan kecekapan operasi organisasi berkenaan.
“Pelaksanaan pelan reformasi ini berjaya memulihkan kedudukan kewangan NAFAS sekali gus membolehkan agihan keuntungan kepada pelabur dilaksanakan semula,” katanya pada sidang akhbar program penyerahan Dividen PPN dan Majlis Iftar NAFAS 2026 di sini, hari ini.
Tambah Mohammad, agihan dividen tersebut dipercepatkan melalui perintah khas yang diperuntukkan kepada menteri bagi memastikan kebajikan ahli peladang terus terpelihara.
Katanya, melalui perintah khas itu agihan keuntungan dapat dilaksanakan lebih awal menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Keputusan ini dibuat kerana obligasi sosial terhadap lebih 400,000 anggota peladang tidak wajar terjejas akibat penggantungan yang berlaku sebelum ini,” katanya.
Majlis berkenaan turut menyaksikan penyerahan simbolik cek dividen kepada wakil PPN serta dihadiri kepimpinan industri pertanian dan wakil agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Selain itu, program tersebut turut diserikan dengan penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim sebagai sebahagian inisiatif tanggungjawab sosial korporat NAFAS sempena Ramadan. – KOSMO! ONLINE














