Cuaca baik pada hari raya, hanya malam diramal hujan
Oleh MAISARAH ARRIFIN
PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan cuaca baik pada hari Jumaat dan Sabtu ini yang dijangka jatuh pada Hari Raya Aidilfitri.
Pada hari Jumaat sebelah pagi hanya Perak dan Sabah diramalkan hujan manakala negeri lain cuaca baik.
Manakala pada Sabtu pula, hanya negeri Perak dijangka hujan dan negeri-negeri lain cuaca baik.
MetMalaysia itu berkata, antara daerah yang terjejas pada 20 Mac pada waktu pagi melibatkan Perak dan Sabah (Bahagian Tawau).
Manakala pada waktu petang di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, dan Johor.
“Amaran sama turut dikeluarkan bagi Sabah (Bahagian Pantai Barat, Pedalaman dan Tawau) dan Sarawak (Bahagian Kapit, Miri dan Limbang),” lapor MetMalaysia.
Pada waktu malam pula hujan di beberapa tempat melibatkan Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Sabah (Bahagian Pedalaman dan Tawau) dan Sarawak (Bahagian Kapit, Miri dan Limbang).
MetMalaysia memaklumkan pada 21 Mac, ribut petir dan hujan dijangka berlaku pada waktu petang di Selangor, Negeri Sembilan dan Sarawak (Bahagian Kuching, Serian, Samarahan dan Sri Aman), Kuala Lumpur Dan Putrajaya.
Waktu pagi, hujan melibatkan Perak manakala di waktu malam hujan di beberapa tempat iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Kuala Lumpur dan Sabah (Bahagian Tawau).
“Manakala pada 22 Mac, ribut petir dan hujan dijangka berlaku di Sabah (Bahagian Pantai Barat dan Sandakan) serta Sarawak (Bahagian Kuching, Serian, Samarahan dan Sri Aman),” kata MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE














