fbpx
ELLY tidak ambil hati apabila gaya penyampaiannya di konti radio dikecam netizen sebaliknya mengambil perkara itu sebagai satu peringatan dan bersedia memperbaiki diri.

‘Terima kasih tegur, kalau tidak saya syok sendiri’ 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Pengacara dan penyampai radio, Elly Arifin tidak berkecil hati apabila dikritik menggunakan panggilan diri ‘kau aku’ ketika ke udara di sebuah stesen radio tempatan baru-baru ini.

Menurut Elly, 36, dia menerima semua komen negatif dengan berlapang dada kerana sudah bersedia dari segi mental sebelum menceburi dunia penyiaran radio.

“Alhamdulillah, setakat ini saya tidak terasa hati langsung. Sejak menceburkan diri dalam dunia radio atau televisyen, memang sudah bersedia menerima apa sahaja kecaman atau kritikan.

“Saya melihat semuanya dari sudut positif dan tak mahu bersikap ego atau cepat melenting, sebab adakalanya memang kita pun tidak sedar kelemahan sendiri,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui di majlis Jom Kongsi Rezeki – Bersama Anak Yatim di sini, baru-baru ini.

Tambah Elly, setiap teguran dan kritikan menjadikannya anak seni yang lebih baik terutama berkaitan kerja.

“Saya baca setiap komen dan menerima setiap teguran. Kalau tiada itu semua, mungkin akan rasa ‘syok sendiri’.

“Mungkin saya juga tak sedar silap sendiri dan bila orang tegur, boleh perbaiki. Setiap hari adalah proses pembelajaran.

“Jadi apabila menerima nasihat atau teguran, saya akan ucap terima kasih dan ambil daripada sudut positif supaya saya boleh terus memperbaiki diri,” ujarnya.

Dia juga mengakui berbincang dengan rakan sekerja, Fad dan Ajak mengenai isu yang dibangkitkan netizen.

“Kami ada berbincang mengenai perkara ini dan juga sudah usaha memperbaiki cara penyampaian saya dengan Fad dan Ajak.

“Saya faham sebagai seorang perempuan, mungkin tidak manis jika saya guna ‘kau aku’ dan seharusnya menggunakan panggilan seperti saya dan awak.

“Saya anggap apa yang berlaku ini sebagai satu iktibar. Saya akan alihkan perkara itu ke arah yang lebih baik supaya dapat memuaskan hati semua pendengar,” katanya lagi.

Menerusi majlis sama, seramai 50 orang anak yatim dari Asrama Kasih YBK Serendah (ASKAS) diraikan selain menerima sumbangan duit raya dan baju raya.

Acara tersebut anjuran Muhamad Izzat bin Samadi, bekas penghuni ASKAS yang pernah berteduh di rumah kebajikan tersebut selama enam tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN