fbpx
Bront Palarae menyifatkan kadar bayaran terlalu rendah yang tidak setimpal dengan hasil kerja merupakan satu penghinaan.

‘Bayaran rendah, tidak setimpal penghinaan buat anak seni’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Prihatin dengan nasib penggiat seni senior, pelakon Bront Palarae menyifatkan kadar bayaran terlalu rendah yang tidak setimpal dengan hasil kerja merupakan satu penghinaan.

Bront atau Nasrul Suhaimin Saifuddin, 48, berkata, orang industri sendiri yang sepatutnya menghargai bakat karyawan tidak kira muda mahupun veteran dengan menawarkan nilai setimpal.

“Mereka yang terbabit dalam bidang ini sebenarnya wajib peka serta tahu menghargai bakat seseorang bersandarkan kerja sebelum mengajukan tawaran.

“Bagi saya, bayaran terlampau rendah sememangnya insulting (penghinaan) terutama terhadap pelakon veteran yang sudah lama dalam bidang ini,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pengenalan barisan pelakon Tarung: Unforgive, semalam.

Bront berkata, situasi terbabit juga boleh terjadi apabila ada segelintir yang bergelar pelabur menganggap mereka juga penerbit.

Jelasnya, kadar bayaran bagi pelakon dan kru produksi tidak diketahui sebahagian besar pelabur kerana bukan bidang mereka.

“Biasanya seseorang yang bergelar penerbit itu tahu keperluan seperti jumlah wang yang diperlukan untuk perbelanjaan menerbitkan sebuah naskhah.

“Jadi, itu juga adalah salah satu punca yang boleh menyebabkan isu ini boleh berlaku sehingga ada pelakon yang dibayar rendah dan tidak berbaloi,” ujarnya.

Terdahulu, seorang dramatis senior mendedahkan diaju tawaran membintangi drama di Kuala Kangsar, Perak selama lima hari dengan bayaran RM500 membabitkan 38 babak.

Sementara itu, mengenai pembabitan dalam Tarung: Unforgiven, Bront berkata, dia bersetuju untuk terlibat bukan semata-mata disebabkan
persahabatannya dengan pengarah, Razaisyam Rashid.

Akuinya lagi, skrip untuk filem aksi berkenaan dilihat sebagai sebuah penceritaan menarik serta unik dengan plot sarat emosi.

“Apabila baru separuh saya membaca skrip filem ini, terus saya merasakan ada sesuatu yang cukup lain dalam naskhah ini.

“Namun, saya tidak terus beri persetujuan, selepas habiskan bacaan skrip, barulah saya hubungi Razaisyam menyatakan persetujuan,” ujarnya.

Tarung: Unforgiven terbitan Alpha47 Films juga syarikat milik pelakon Aedy Ashraf dengan kerjasama Astro Shaw akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula pada 7 Mei ini.

Selain Bront dan Aedy, filem itu turut menampilkan Zul Ariffin, Mierul Aiman, Amir Ahnaf, Azira Shafinaz, Sharifah Sakinah, Ubai Amir, Sky Iskandar, Ikmal Amry, Aeril Zafrel dan Theebaan G.

Tarung: Unforgiven mengisahkan bekas juara silat yang diburu dosa silam selepas berlakunya satu tragedi selain terpaksa bertarung di gelanggang haram demi menyelamatkan kakaknya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI