PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat dan angin kencang di Perak, Selangor, Putrajaya, Johor dan Sarawak hingga pukul 7 malam ini.
MetMalaysia dalam kenyataan berkata, antara negeri terlibat adalah Perak membabitkan Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim.
Selain itu, hujan lebat turut melibatkan kawasan Selangor (Sepang), Putrajaya dan Johor (Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru).
“Bagi Sarawak, cuaca buruk di jangka berlaku di Kuching, Serian, Samarahan, Mukah (Daro dan Matu), Kapit (Song), Bintulu (Tatau dan Sebauh), Miri (Beluru, Telang Usan dan Marudi) dan Limbang,” katanya.
MetMalaysia memaklumkan, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda hujan lebat dengan intensiti melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berterusan melebihi satu jam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE














