LIPIS – Seorang warga emas maut selepas kereta jenis Perodua Kancil dipandunya yang keluar daripada simpang secara tiba-tiba dilanggar sebuah bas ekspres di Kilometer 95 Jalan Lipis-Merapoh di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, mangsa Safein Ab. Rahman,66, bersama anaknya dalam perjalanan
dari arah Kuala Lipis menuju ke rumahnya di Kampung Mentara Lama, Kelantan.
Katanya, semasa kejadian bas dipandu lelaki berusia 30 tahun yang membawa 15 penumpang dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan menuju ke Klang, Selangor.
“Apabila sampai di tempat kejadian semasa bas ekspres sedang bergerak lurus sebuah kereta Perodua Kancil keluar dari simpang sebelah kiri bas secara tiba-tiba. Bas cuba untuk membrek dan mengelak ke sebelah kanan namun terlanggar kereta Perodua Kancil itu,” katanya di sini hari ini.
Katanya, akibat kejadian menyebabkan pemandu kereta Perodua Kancil meninggal dunia di tempat kejadian dan penumpang kereta berkenaan mengalami kecederaan.
Tambahnya, pemandu dan penumpang bas berkenaan tidak mengalami kecederaan.
Menurutnya mayat mangsa dibawa ke Hospital Lipis untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dirawat di hospital sama dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Polis memohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan.
“Pihak polis juga menasihatkan agar semua pengguna jalan raya sentiasa memandu kenderaan secara berhati-hati dan berhemah serta memastikan kenderaan yang dipandu diselenggara dengan baik dan selamat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














