PETALING JAYA – Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) hari ini mengumumkan kerjasama hak penamaan bersama Telekom Malaysia Berhad (TM) bagi Stadium Nasional dan Stadium Putra untuk tempoh tiga tahun.
Kerjasama ini merupakan satu langkah penting untuk memastikan dua venue utama negara ini terus kekal relevan, selesa dan berdaya saing sebagai lokasi penganjuran acara sukan serta hiburan bertaraf antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Iliyas Jamil berkata, sebagai pengurus Stadium Nasional dan Stadium Putra, pihaknya komited memastikan kemudahan ini sentiasa berada pada tahap terbaik untuk rakyat Malaysia.
Menurutnya, kerjasama hak penamaan ini merupakan satu inisiatif oleh PSM untuk memperkukuh kelestarian dan pembangunan jangka panjang venue-venue ini.
“Berkuat kuasa 6 Mac lalu, PSM akan menjenamakan semula Stadium Nasional dan Stadium Putra masing-masing sebagai TM Stadium Nasional dan Unifi Arena.
“Hasil daripada kerjasama ini akan disalurkan kepada usaha menaik taraf serta menambah baik kemudahan stadium bagi memberikan pengalaman yang lebih baik kepada pengunjung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia Berhad, Amar Huzaimi Md. Deris berkata, selama lapan dekad, TM memainkan peranan penting dalam menghubungkan rakyat Malaysia merentasi generasi.
“Kami berbesar hati diberi kepercayaan untuk memegang hak penamaan bagi venue nasional begitu ikonik ini dan amat menghargai kepercayaan diberikan kepada kami.
“Stadium Nasional dan Stadium Putra sekian lama menjadi tempat rakyat Malaysia berkumpul untuk memberi sokongan, meraikan kejayaan dan menyaksikan detik bersejarah.
“Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat terus memperkukuh kedua-dua stadium ini agar ia kekal menjadi tempat yang menyatukan masyarakat dan menyemarakkan kebanggaan negara untuk
generasi akan datang,” katanya. – KOSMO! ONLINE














