LIPIS – “Tiada lagi rumah pusaka yang selama ini menjadi tempat berkumpul semua ahli keluarga setiap kali sambut raya.”
Demikian kata pemilik rumah, Haslina Mat Yunus, 54, selepas kediaman berusia hampir 80 tahun itu musnah dalam kebakaran kira-kira pukul 10 pagi semalam.
Haslina berkata, ketika kejadian dia serta suaminya tiada di rumah kerana masing-masing keluar bekerja di bandar Lipis dan hanya mengetahui insiden tersebut selepas dimaklumkan oleh anak saudaranya.
“Namun apabila sampai, api sudah marak dan tidak sempat untuk menyelamatkan dokumen penting termasuk sebuah kereta,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Kampung Berembang, Padang Tengku di sini hari ini.
Tambah Haslina, rumah berkenaan didiami tiga orang termasuk dirinya, suami dan seorang adiknya.
“Rumah asalnya rumah kayu dan sebahagian daripadanya telah diubah suai pada tahun 2012 menggunakan simen, namun masih mengekalkan struktur lama. Setiap kali musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, rumah ini menjadi tempat kami sekeluarga serta sanak saudara berkumpul,” katanya.
Sementara itu, abang iparnya, Harun Jawi, 66, berkata, penduduk cuba membantu menyelamatkan beberapa barangan yang terletak di garaj rumah termasuk motosikal dan mesin rumput menggunakan tali tetapi tidak berjaya.
Dalam pada itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kejadian tersebut menyebabkan sebuah rumah dan sebuah kereta jenis Toyota Vios hangus dijilat api.
“Operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran hos sepanjang 100 kaki bersama satu nozel serta satu aliran hos salur bantu mula air tangki pam jentera bomba,” katanya. – KOSMO! ONLINE














