GUA MUSANG – Seorang anak yang juga orang kurang upaya (OKU) lembam tetap setia menjaga ibunya yang terlantar sakit akibat strok di sebuah rumah sewa yang serba daif di Kawasan Perindustrian di sini sejak dua tahun lalu.
Sebelum ini, wanita warga emas itu, Zaharah A. Kechik, 75, bersama anak lelakinya itu berusia 44 tahun menyara hidup dengan menjual buah-buahan di tepi jalan.
Bagaimanapun, sumber pendapatan mereka terhenti selepas Zaharah diserang strok.
Kesusahan dua beradik itu dikesan ketika program Ziarah Ramadan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Galas, Datuk Mohd. Syahbuddin Hashim bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Gua Musang di rumah mereka semalam.
Mohd. Syahbuddin berkata, keadaan rumah sewa yang didiami mereka sejak dua tahun lalu didapati terlalu uzur dan tidak lagi sesuai untuk diduduki.
Katanya, selepas tiada lagi sumber pendapatan, mereka bergantung hidup dengan bantuan JKM sebanyak RM600 sebulan menerusi Bantuan Warga Emas.
“Keluarga ini perlu dibantu segera kerana keadaan tempat tinggal mereka tidak selesa dan tidak selamat. Kita akan mengambil tindakan segera untuk memindahkan mereka ke tempat yang lebih sesuai dalam tempoh terdekat ini,” katanya.
Beliau mengakui terharu melihat pengorbanan anak kepada wanita tersebut walaupun OKU tetap setia menjaga ibunya dalam keadaan uzur.
Menurutnya, pihaknya akan berhubung dengan pihak hospital bagi memastikan wanita itu mendapat pemantauan kesihatan yang lebih baik.
“Kita akan berhubung dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan untuk cari jalan menyediakan tempat tinggal lebih selesa buat mereka,” katanya. -KOSMO! ONLINE














