PETALING JAYA – Orang ramai mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan segera ke atas pengemis, peminta sedekah dan gelandangan didakwa ‘mencemarkan’ pemandangan ibu negara khususnya di Bukit Bintang, iaitu antara kawasan tarikan pengunjung termasuk pelancong antarabangsa.
Menerusi satu video dimuat naik pada Facebook Manji Poyo, kelihatan beberapa individu ada yang sedang duduk bersila, tidur di celah pokok hiasan selain berniaga barangan di tepi laluan berdekatan stesen MRT Bukit Bintang.
“Dah macam berkampung, sikit lagi ada rumah celah pasu ni,” menurut kapsyen ringkas pada video berkenaan.
Menerusi ruangan komen, pengguna media sosial mendesak aktiviti mengemis dan meminta sedekah di sekitar Kuala Lumpur dibanteras, lebih-lebih lagi isu itu didakwa berlaku sejak sekian lama.
Dalam masa sama, ada yang mempersoalkan status kewarganegaraan pengemis, peminta sedekah dan gelandangan tersebut berikutan boleh jadi bukan hanya warga Malaysia, malah melibatkan warga asing.
“Makin teruk dah. Sakit mata tengok, mana pihak berwajib ni,” komen pengguna Facebook HaryRay Zahary.
“Dah semakin teruk di Bukit Bintang dengan minta sedekah warga asing,” kata Mahani.
“Tak lama lagi, dia orang buat rumah pula,” kata Fatimah Ibrahim. – KOSMO! ONLINE














