PETALING JAYA – Seorang tukang kasut didakwa berdepan masalah apabila ramai daripada pelanggannya tidak menuntut kembali kasut yang dihantar untuk dibaiki, sekali gus dia tidak menerima bayaran daripada mereka.
Menerusi hantaran seorang pengguna Thread Itsmia Razak memberitahu, lokasi tukang kasut itu melakukan perkhidmatan membaiki kasut adalah berdekatan sebuah bank di Kapar, Klang.
“Siapa pernah jahit atau gam kasut kat pak cik ni. Tolonglah pergi ambil, setiap hari dia pikul beg besar penuh dengan kasut yang tak dituntut.
“Bila saya tanya, kebanyakan belum bayar dan ada lagi satu guni besar kasut belum dituntut.
“Kasihan weh, tangan dia berbirat-birat ya menjahit kasut korang dan saya rasa pak cik ni ada bell palsy, sebab mulut dia automatik semua mengherot ke kanan waktu bercakap. Tolong pergi ambil,” katanya.
Hantaran itu mendapat pelbagai maklum balas, malah ada yang mencadangkan supaya lelaki tukang kasut itu mengenakan deposit bagi mengelakkan pelanggan tidak menuntut kasut mereka.
“Suruh pak cik tu minta deposit untuk orang yang nak repair (baiki) kasut. Lepas tu minta nombor telefon. Kalau dah seminggu masih tak ambil, jual kasut tu kat bundle,” cadang pengguna Thread Shiorishira.
“Siapa yang buat macam ni memamg sehina-hina manusia. Berapa sangat lah upah pak cik tu ambil, sebelum repair pun mesti dah setuju dengan kadar upah,” kata Cheerlyn.
“Korang yang dah suruh pak cik ni jahit kasut, tolong lah datang ambil dan bayar. Penat tau nak jahit kasut ni,” kata Malaikakluh. – KOSMO! ONLINE














