PETALING JAYA – Keadaan jemaah di Mekah pada 10 malam terakhir Ramadan mencuri perhatian ramai apabila tular satu rakaman video memaparkan suasana terlalu padat sehingga ada yang terpaksa menunaikan solat dalam keadaan ruang amat terhad.
Menerusi video dimuat naik seorang lelaki di akaun TikTok @yemmi.sui, jemaah dilihat merebut peluang untuk menunaikan solat, malah ada dalam kalangan mereka tidak mempunyai ruang mencukupi untuk melakukan sujud.
“Sekiranya kamu semua tertanya-tanya bagaimana betapa padatnya di Mekah pada 10 malam terakhir. Orang ramai solat tanpa ada tempat untuk sujud,” kata pengguna tersebut pada videonya.
Situasi itu sekali gus menggambarkan limpahan kehadiran umat Islam yang berpusu-pusu ke Tanah Suci bagi merebut kelebihan 10 malam terakhir Ramadan, khususnya untuk memperbanyakkan ibadah.
Bagaimanapun, setakat ini tidak dapat dipastikan lokasi tepat rakaman itu di sekitar Masjidil Haram serta keadaan sebenar keseluruhan jemaah pada waktu kejadian.
Rakaman berkenaan turut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial yang meluahkan rasa sayu, kagum dan terkesan melihat kesungguhan para jemaah untuk terus beribadah walaupun dalam keadaan sesak.
Ada juga yang menyifatkan suasana tersebut sebagai luar biasa dan menjadi bukti betapa besarnya kerinduan umat Islam dari seluruh dunia untuk berada di Mekah pada waktu-waktu penuh keberkatan itu.
“Fuh padat gila di Mekah, untung boleh solat dan puasa di sana masya Allah,” komen Arief.
“Tapi ni macam solat jenazah pun ada. Tapi kalau betul tak pelik sebab dekat Mekah memang tengah sangat padat sekarang,” komwn Ainnur pula. – KOSMO! ONLINE
@yemmi.sui #Mecca #MeccaIive ♬ original sound – yemmi.sui














