fbpx
Anak-anak yatim dan asnaf bergambar bersama Norliza (dua dari kiri) bersama dif-dif jemputan di Hotel Royale Chulan Damansara, semalam.

PTPTN santuni 100 anak yatim, asnaf sempena Syawal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seramai 100 anak yatim dan asnaf diraikan menerusi Program Raikan Syawal anjuran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan kerjasama Royale Chulan Hotels & Resorts, di Hotel Royale Chulan Damansara semalam.

Program tanggungjawab sosial korporat yang dianjurkan sejak 2016 itu bertujuan menyantuni golongan kurang bernasib baik agar mereka turut merasai kemeriahan membuat persiapan menyambut Syawal.

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, pihaknya komited melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan bagi memupuk nilai kebersamaan dan keprihatinan dalam kalangan masyarakat.

“Melalui program ini, PTPTN berusaha memupuk nilai kasih sayang dan kebersamaan selain berkongsi rezeki bagi menceriakan sambutan Hari Raya Aidilfitri anak-anak yatim serta asnaf,” katanya.

Menurut beliau, program tersebut turut memberi motivasi kepada penerima untuk terus belajar bersungguh-sungguh serta menggalakkan budaya menabung bagi menjamin masa depan pendidikan mereka.

Pada sebelah pagi, kesemua penerima dibawa membeli-belah pakaian raya di Jakel Mall Kuala Lumpur dengan setiap seorang menerima set pakaian hari raya bernilai RM200 dan kuih raya bernilai RM40.

Secara keseluruhan, PTPTN memperuntukkan sumbangan berjumlah RM24,000 bagi menjayakan aktiviti berkenaan termasuk penyediaan juadah berbuka puasa kepada para penerima.

Pihak Royale Chulan Hotels & Resorts Malaysia pula menyumbang RM5,000 melalui pembukaan akaun Simpan SSPN Prime kepada 100 anak yatim dan asnaf dengan setiap orang menerima sumbangan sebanyak RM50 sebagai usaha menyokong masa depan pendidikan mereka.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Hotels & Resort, Datuk Rosthman Ibrahim berkata, bagi pihaknya, usaha menyantuni masyarakat merupakan sesuatu yang sentiasa menjadi sebahagian daripada komitmen.

Katanya, kerjasama bersama PTPTN amat dihargai kerana ia membawa semangat memberi dan berkongsi, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI