LIVERPOOL – Pengendali Liverpool, Arne Slot menggesa pasukan menggandakan usaha jika mahu melunaskan misi membalas dendam pada aksi pusingan 16 terbaik saingan Liga Juara-Juara (UCL) menentang Galatasaray di Stadium Rams Park, awal pagi esok.
Sebagai rekod, kedua-dua pasukan telah bertemu di pusingan liga pada awal musim ini dengan keputusan positif berpihak kepada kelab Liga Turkiye itu yang meraih kemenangan 1-0.
Menurut Slot, suasana di Istanbul bakal menjadi cabaran besar buat pasukannya apabila menentang Galatasaray kerana kehangatan atmosfera di gelanggang lawan itu mampu memberi kelebihan besar kepada tuan rumah.
Slot berkata, semua pemain perlu kekal fokus sepanjang perlawanan jika tidak mahu dikejutkan oleh pasukan lawan selain memburu bekalan selesa sebelum aksi kedua di Anfield minggu depan.
“Apabila bermain di peringkat 16 terbaik, memang kita menjangkakan perlawanan yang sukar kerana semua pasukan layak berada di sini atas kekuatan serta kelebihan mereka tersendiri.
“Saya masih ingat kami pernah bermain di sana pada awal musim ini dan tewas kerana Galatasaray terbukti pasukan yang sangat bagus.
“Aura di tempat lawan juga sangat berbeza kerana setiap kali kami menguasai bola, bunyi sorakan dan siulan begitu kuat dari awal hingga tamat perlawanan, malah kadangkala lebih kuat daripada ketika mereka menjaringkan gol,” katanya. – AGENSI














