fbpx
Gambar hiasan

KKM tambah peralatan MRI, X-ray dan ultrasound di hospital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) merancang menambah peralatan diagnostik termasuk mesin pengimejan resonans magnetik (MRI) bagi meningkatkan akses rakyat kepada perkhidmatan tersebut di hospital kerajaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata, melalui projek permohonan peralatan dan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), KKM memohon penambahan beberapa peralatan termasuk MRI.

Menurut beliau, ia melibatkan 11 unit MRI yang kini dalam proses perolehan baharu untuk ditempatkan di hospital berpakar sedia ada serta empat unit lagi di hospital baharu yang sedang dalam pembinaan.
Selain itu, katanya, KKM turut menambah peralatan diagnostik lain seperti mesin X-ray digital dan ultrasound di hospital daerah.

“Sehingga kini, sebanyak 61 unit mesin ultrasound dan 274 unit mesin X-ray telah ditempatkan di 66 hospital daerah serta hospital tanpa pakar di seluruh negara,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Anna Bell @ Suzieana binti Perian tentang langkah KKM menyelesaikan masalah ketiadaan
kelengkapan perubatan seperti Mesin Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan alatan perubatan lain di hospital daerah.

Terdahulu, Dzulkefly berkata, setakat Februari 2026, sebanyak 39 unit mesin MRI telah disediakan di hospital yang berperanan sebagai pusat rujukan kepada hospital dalam kluster masing-masing.

Jelas beliau, prralatan MRI dan CT scan hanya tersedia di hospital yang mempunyai pakar radiologi kerana pengoperasian peralatan itu memerlukan tenaga kerja terlatih yang mempunyai kemahiran khusus bagi memastikan keputusan diagnostik yang tepat dan selamat kepada pesakit.

“Bagi hospital yang tiada MRI dan CT scan, Jabatan Radiologi memainkan peranan penting dengan ketersediaan peralatan radiologi yang lain seperti mesin X-ray dan ultrasound dalam menyokong diagnosis dan rawatan asas kepada pesakit melalui kerjasama dengan hospital kluster dan hospital berpakar yang lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI